Vaksin COVID-19: 75.5 peratus golongan OKU di Kelantan telah terima suntikan
Muhafandi Muhamad
Ogos 27, 2021 10:01 MYT
Ogos 27, 2021 10:01 MYT
KOTA BHARU: Kecacatan fizikal bukan penghalang bagi sebahagian besar golongan Orang Kurang Upaya (OKU) di Kelantan untuk mendapatkan suntikan vaksin.
Sebaliknya, Pengerusi Majlis Belia OKU, Ahmad Dzul Azim Abdullah melihat golongan istimewa ini bersemangat untuk menerima suntikan vaksin kerana sedar kepentingannya untuk melindungi diri sendiri dan masyarakat.
Katanya, melalui Program Kebajikan atau 'outreach' vaksinasi yang diadakan, golongan OKU berkenaan berpeluang mendapat suntikan.
"Kami difahamkan vaksin yang telah diterima oleh komuniti OKU di Kelantan sebanyak 75.5 peratus," katanya.
Menurut Ahmad Dzul, daripada 12,000 orang OKU yang berdaftar dengan pelbagai komuniti, 8,500 telah lengkap dua dos vaksin.
Manakala selebihnya masih menunggu giliran panggilan janji temu melalui aplikasi MySejahtera.
Ahmad Dzul ditemui selepas menyampaikan Jalur Gemilang di sekatan jalan raya (SJR) Panchor.