Vaksin COVID-19: 74.8 peratus populasi keseluruhan lengkap vaksin

Astro Awani
Oktober 31, 2021 01:26 MYT
Hanya sekitar 2.3 peratus daripada 23.4 juta penduduk dewasa masih belum divaksin. - Foto BERNAMA
KUALA LUMPUR: Jumlah penduduk Malaysia yang sudah menerima dos lengkap vaksin COVID-19 melonjak kepada 24.41 juta individu atau 74.8 peratus daripada kira-kira 32 juta penduduk negara.
Kadar itu dicapai kira-kira 39 hari selepas Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) remaja bermula secara rasmi pada 19 September lalu.
Portal COVIDNOW menunjukkan setakat semalam, 95.5 peratus atau 22.34 juta golongan dewasa lengkap menerima dua dos, manakala 97.7 peratus atau 22.86 juta sudah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin COVID-19.
Bagi golongan remaja berusia 12 hingga 17 tahun, sejumlah 83 peratus atau lebih 2.6 juta menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin, dan 65.5 peratus atau lebih 2 juta pula sudah lengkap dua dos.
Setakat semalam, hanya sekitar 2.3 peratus daripada 23.4 juta penduduk dewasa masih belum divaksin, dan sejumlah 17 peratus daripada 3.2 juta remaja berusia 12 hingga 17 tahun belum divaksin.
Ketika ini, hanya dua negeri masih mencatat jumlah penduduk dewasa lengkap divaksin di bawah 80 peratus, iaitu Kelantan (78.9 peratus) dan Sabah (73.1 peratus), manakala lapan negeri dan wilayah sudah merekodkan lebih 90 peratus.
#COVID-19 #vaksin #remaja #PICK