Vaksin COVID-19: 20 peratus rakyat Malaysia atas pagar, ragu-ragu isu halal

Umavathi Ramayah
Februari 10, 2021 17:22 MYT
Suhazeli Abdullah berkata, 10 peratus rakyat Nalaysia tegar untuk menolak pengambilan suntikan vaksin COVID-19. - Gambar fail/AP
KUALA LUMPUR: Kira-kira 20 peratus rakyat Malaysia dilihat masih dibelenggu perasaan ragu-ragu dan berpendirian atas pagar sama ada untuk menerima atau menolak suntikan vaksin COVID-19.
Memetik data kajian COVID-19 World Symptom Survey yang dikendali Facebook dan University of Maryland, Amerika Syarikat, Pakar Perubatan Keluarga, Dr Suhazeli Abdullah berkata, 10 peratus lagi tegar untuk menolak pengambilan suntikan itu.
Beliau memberitahu, majoriti daripada golongan itu masih was-was mengenai isi kandungan vaksin terbabit sama ada halal atau sebaliknya.
"Daripada data yang diperolehi, majoriti daripada mereka masih ragu-ragu mengenai kesan sampingan dan juga mengenai isi kandungan sama ada haram atau halal," katanya ketika ditemu bual Astro AWANI di sini, pada Rabu.
Data kajian yang diperolehi sehingga 6 Februari lalu itu mendapati kadar responden dari Malaysia yang sanggup divaksinasi adalah 74.39 peratus.
Daripada keseluruhan 40.374 juta responden seluruh dunia yang mengikuti tinjauan ini, lebih 300,000 adalah rakyat Malaysia.
Suhazeli menjelaskan, bagi menjawab segala persoalan yang dibangkitkan, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) telah mengeluarkan jawapan konkrit kepada mereka yang masih ragu-ragu.
BACA: Vaksin COVID-19 selaras tuntutan mencegah penyakit dan kemudaratan - Jakim
BACA: COVID-19: Lebih 70 peratus rakyat Malaysia sedia terima vaksin - Kajian
"JAKIM memainkan peranan baik termasuk mengeluarkan kenyataan berkaitan dengan kepentingan vaksin dan hukum berkaitan," tambahnya lagi.
Katanya, angka semasa itu jelas tidak mencapai sasaran 80 peratus populasi negara ini atau 26.5 juta individu menerima vaksin yang akan diberikan secara percuma menerusi tiga fasa.
#program vaksinasi #Pfizer #World Symptom Survey #Halal #haram #COVID-19 #MOSTI #Kementerian Kesihatan #jabatan agama islam #JAIS #JAKIM
;