Vaksin COVID-19: 1.079 juta kanak-kanak di Malaysia lengkap suntikan
Astro Awani
Mei 19, 2022 09:15 MYT
Mei 19, 2022 09:15 MYT
KUALA LUMPUR: Sebanyak 1.079 juta atau 30.4 peratus kanak-kanak berumur lima hingga 11 tahun di negara ini lengkap menerima vaksin di bawah Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan untuk Kanak-Kanak (PICKids) setakat semalam.
Menurut laman web COVIDNOW, sebanyak 1.65 juta kanak-kanak atau 46.6 peratus daripada kumpulan itu telah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin.
Bagi remaja berumur 12 hingga 17 tahun pula, 2.906 juta atau 93.4 peratus telah lengkap menerima vaksinasi.
Manakala 3.003 juta atau 96.5 peratus daripada kumpulan sama telah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin.
Sejumlah 16.07 juta atau 68.3 peratus golongan dewasa telah menerima dos penggalak manakala 22.9 juta atau 97.6 peratus telah lengkap dua dos.
Sementara itu 23.2 juta atau 98.8 peratus telah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin COVID-19.
Bagi pemberian dos harian pula, sebanyak 10,981 dos vaksin COVID-19 diberikan semalam.