Vaksin CanSino sedia digunakan di pedalaman Sarawak- Uggah

Astro Awani
September 25, 2021 17:49 MYT
Jelas Uggah Sarawak akan terus memperkasakan usaha untuk meningkatkan jumlah penerima vaksin kepada seluruh populasi yang layak di negeri itu. FOTO: Astro AWANI
KUCHING: Bekalan vaksin dos tunggal jenis CanSino di Sarawak sedia untuk digunakan di kawasan luar bandar negeri itu.
Jelas Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas, pembahagian vaksin ini akan difokuskan kepada kawasan yang mencatatkan jumlah tertinggi penduduk pedalaman yang belum divaksin.
‘’Kita sudah menghantar ke beberapa tempat di luar bandar bermula dari 22,23 dan 24 September 2021 dan kita juga sudah menghantar ke beberapa bahagian supaya perancangan teliti boleh dilakukan.
‘’Misalnya, Miri kita bekalkan untuk masyarakat Penan di pedalaman dan kita juga memutuskan membekalkan untuk bahagian Limbang.
‘’Bahagian-bahagian lain juga ada membuat permohonan untuk dapatkan vaksin CanSino,’’ katanya.
Beliau berkata demikian selepas membuat lawatan pemberian vaksin remaja berusia 12 hingga 15 tahun di dewan SMK Agama Tun Ahmad Zaidi Kuching pada Sabtu.
Selain itu, Uggah berkata, Sarawak akan terus memperkasakan usaha untuk meningkatkan jumlah penerima vaksin kepada seluruh populasi yang layak di negeri itu.
Malah bekalan vaksin di negeri itu adalah mencukupi untuk memenuhi keperluan vaksinasi pelbagai peringkat umur baik warganegara ataupun sebaliknya.
‘’Apa yang paling penting adalah kiat memvaksin semua yang layak di seluruh negeri Sarawak sama ada dia warganegara atau warga asing.
‘’Kita nak pastikan ini kerana walau terdapat seorang yang tidak divaksin, dia masih mampu menjadi pembawa virus kepada orang lain,’’ tambahnya.
Untuk rekod setakat 24 September 2021, vaksinasi remaja di Sarawak berusia 16 dan 17 tahun telah mencapai 78 peratus atau 75,192 orang dan 8,320 orang untuk remaja berusia 12 ke 15 tahun.
#vaksinasi di Sarawak #vaksin CanSino di Sarawak #COVID-19 di Sarawak #bekalan vaksin di Sarawak
;