Vaksin cacar monyet hanya akan diusulkan jika ada keperluan- Pakar penyakit berjangkit

Rahimah Abdullah
Jun 15, 2022 12:49 MYT
Setakat ini, Malaysia belum merekodkan sebarang kes cacar monyet dan kes yang tular sebelum ini sudah disahkan sebagai Penyakit Tangan, Kaki dan Mulut (HFMD). - Gambar fail
KUALA LUMPUR : Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) hanya akan mengusulkan cadangan mendapatkan vaksin cacar monyet jika terdapat keperluan pada masa akan datang.
Pakar Penyakit Berjangkit Hospital Tengku Ampuan Rahimah Klang (HTAR), Dr Mohd Noor Azreey menjelaskan, ketika ini penghasilan vaksin berkenaan disediakan kepada negara-negara yang berisiko tinggi terhadap jangkitan virus berkenaan.
"Sebelum ini kita ada Smallpox Vaccine, memang kita tahu ia membantu dalam pencegahan cacar monyet. Malangnya Smallpox vaccine kita sudah hentikan. Penghasilannya ada , tetapi mereka simpan di sesetengah negara dan beri di kawasan berisiko tinggi.
"Dalam negara tidak ada kes, setakat ini vaksin itu tidak bergerak ke negara berkenaan. Mesyuarat KKM dengan pihak berkepentingan termasuk pihak farmasi hanya akan mengusulkan bila ada keperluan.
"Setakat ini kita masih dalam tempoh nak melihat apa akan berlaku di masa akan datang dan kita nak tengok keperluan program vaksinasi ini jika kita boleh tambah vaksin cacar monyet," katanya semasa Webinar bertajuk "Cacar Monyet : Bahaya ke tak?" anjuran Majlis AIDS Malaysia (MAM) dan The Malaysian Society of HIV Medicine (MASHM).
Sebelum ini, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, KKM tidak mempunyai perancangan untuk melakukan imunisasi vaksin secara besar-besaran membabitkan virus cacar monyet.
Setakat ini, Malaysia belum merekodkan sebarang kes cacar monyet dan kes yang tular sebelum ini sudah disahkan sebagai Penyakit Tangan, Kaki dan Mulut (HFMD).
Cacar Monyet bukan penyakit LGBT
Dalam pada itu, Pakar Penyakit Berjangkit Hospital Tengku Ampuan Rahimah Klang (HTAR), Dr Mohd Noor Azreey nafi jangkitan cacar monyet adalah melalui hubungan seksual.
Sebaliknya, jangkitan paling cepat berlaku apabila berlaku kontak dengan seseorang.
Kenyataan itu sebagai menjawab dakwaan sesetengah pihak bahawa cacar monyet adalah "penyakit LGBT" seperti HIV.
"Mungkin kita kena buka sejarah bagaimana cacar monyet itu berlaku. Bermula dari sejarah di Afrika. Afrika adalah komuniti, kalau seorang kena cacar monyet, semua kena dekat sesuatu kawasan itu.
"Maka itu yang berlaku di Congo. Namun apa yang berlaku (cacar monyet) di kawasan LGBT ini, mungkin tidak bernasib baik kerana dia pergi kawasan berisiko, balik dapat cacar monyet dan berjumpa rakan serumah, dan berjangkit.
"Golongan LGBT ini juga lebih prihatin dengan kesihatan, sebab kalau ada masalah kesihatan jumpa doktor. Maka ia jadi cepat," ujarnya.
Malah, berbeza dengan situasi orang lain, mereka mungkin kurang pendedahan maklumat menyebabkan pengesanan awal virus tidak dilakukan.
"Maka, perlu ada advokasi bahawa cacar monyet ini lebih kepada cara kontak dan bukan sebab hubungan seksual.
"Kalau kita kata hubungan seksual, kes sepatutnya tak naik sebab hubungan seksual ramai yang pakai perlindungan. Namun dari segi sentuhan itu, kontak sedikit sahaja pun sudah berjangkit," tambahnya lagi.
Kenapa Virus Berkaitan Haiwan Kerap Berlaku?
Sementara itu, Dr Mohd Noor Azreey mengakui virus berkaitan dengan haiwan kerap berlaku pada masa ini.
Jelasnya, gangguan terhadap habitat haiwan menyebabkan virus berkenaan mula berhijrah dan menjangkiti manusia.
Ia termasuk sikap manusia yang suka makan haiwan eksotik.
"Jawapan dia senang, sebab kita ganggu kawasan haiwan. Kita ganggu haiwan, maka mereka keluar ramai-ramai.
"Cacar monyet juga, isu utamanya ialah deforestration dan migrasi haiwan, maksudnya kita kacau habitat mereka. Jadi apabila kita kacau habitat mereka, mereka lari dan duduk di kawasan manusia.
"Memang kita tahu haiwan adalah sumber jangkitan. Seperti virus Korona yang asalnya daripada kelawar, kita makan kelawar.
"Cacar monyet pun sama, kita kacau dia, dia datang dekat kita dan kita makan dia. Selain itu, penghijrahan manusia juga menyebabkan virus itu lagi rancak," tambahnya.
#cacar monyet #Dr Mohd Noor Azreey #HTAR #penyakit berjangkit
;