Vaksin buatan Sinovac: Apa yang kita tahu setakat ini?

Agensi
Januari 15, 2021 15:26 MYT
Data berkait tahap keberkesanan vaksin yang dinamakan CoronaVac itu dilihat berbeza antara satu sama lain mengikut negara. - Foto REUTERS
KUALA LUMPUR: Vaksin COVID-19 buatan China, Sinovac kini dilihat menjadi harapan kepada banyak negara membangun dalam usaha mengekang penularan wabak itu.
Namun, data berkait tahap keberkesanan vaksin yang dinamakan CoronaVac itu dilihat berbeza antara satu sama lain mengikut negara.
Berikut merupakan faktor yang mungkin mempengaruhi tahap keberkesanan vaksin itu:
Sejauh mana keberkesanan CoronaVac?
Kajian di Turki menunjukkan tahap keberkesanannya adalah 91.25 peratus. Ujian klinikal itu melibatkan 7,000 sukarelawan, namun keputusan keberkesanan hanya merangkumi data daripada 1,322 individu.
Indonesia melaporkan vaksin itu berada pada tahap keberkesanan 65 peratus efektif melibatkan 1,600 individu.
Manakala, kajian di Brazil pula menyatakan vaksin itu berkesan 50.4 peratus dalam mengekang jangkitan simptomatik, memadai untuk kelulusan kawal selia.
Brazil telah menjalankan ujian terbesar setakat ini melibatkan 13,000 sukarelawan.
Apakah penyumbang kepada perbezaan tahap kejayaan?
Jumlah ujian, kriteria pesakit, tempoh pemerhatian pasca-vaksinasi, kumpulan sasar, tahap penyebaran virus setiap negara menjadi antara faktor mempengaruhi tahap keberkesanan.
Penularan COVID-19 yang berleluasa di Brazil berbanding negara lain dan kajian yang tertumpu kepada petugas kesihatan mungkin jadi penyumbang kepada tahap jangkitan yang rendah sekaligus menurunkan tahap keberkesanannya.
Kesan terhadap kumpulan sasar
Kajian di Brazil hanya tertumpu kepada petugas kesihatan sahaja.
Turki dan Chile pula memfokuskan kajian melibatkan petugas kesihatan dan orang awam.
Sementara kajian di Indonesia pula memfokuskan dalam kalangan orang awam sahaja.
Petugas kesihatan dilihat lebih peka terhadap gejala ringan dan melaporkannya secara lebih proaktif berbanding orang ramai.
Sinovac mengandaikan ia berkemungkinan punca mengapa data kajian di Brazil hanya menyatakan 50 peratus berkesan.
Apa kata pakar?
Pakar menyatakan mereka sukar untuk menganalisis data tahap keberkesanan vaksin itu lantaran set data masih belum dikeluarkan.
Profesor Perubatan di University of East Anglia, Paul Hunter berkata, selang dos dua minggu adalah sangat pendek dan mungkin menyumbang kepada keberkesanan yang kurang memberangsangkan.
Keputusan ujian boleh digabungkan?
Sinovac memaklumkan bahawa ujian yang dirangka tidak sama untuk setiap negara, namun keputusannya memadai untuk membuktikan vaksin itu selamat dan berkesan.
Ketua Kumpulan Kajian Vaksin di Institut Vaksin Antarabangsa, Jerome Kim berkata, data daripada pelbagai kajian boleh digabungkan namun ia memerlukan manipulasi kepada statistik tambahan.
Adakah negara penerima bimbang?
Indonesia dan Turki telah meluluskan vaksin itu minggu ini untuk memulakan proses vaksinasi dengan Presiden Indonesia telah mengambilnya untuk menggalakkan inisiatif tersebut.
Presiden Filipina terus mempertahan keputusan negara itu untuk membeli vaksin buatan China, dengan mengatakan keberkesanannya adalah sama seperti vaksin buatan Amerika Syarikat dan negara Eropah.
Di Brazil, keputusan untuk menggunakan CoronaVac itu akan dibuat pada Sabtu.
Tidak hanya Sinovac mempunyai kadar kejayaan berbeza
Vaksin yang dibangunkan Universiti Oxford dan AstraZenera juga mempunyai dua tahap kejayaan.
Ia menunjukkan 62 peratus berkesan apabila dua dos disuntik kepada golongan dewasa melibatkan pelbagai kumpulan usia.
Namun ia meningkat kepada 90 peratus apabila kumpulan kecil melibatkan mereka yang berusia tidak lebih 55 tahun diberi separuh dos diikuti dos penuh.
Secara purata vaksin tersebut melindungi 70 peratus kes COVID-19 semasa ujian fasa akhir di Britain dan Brazil.
Vaksin yang dibangunkan Sinopharm menunjukkan 79.34 peratus berkesan, lebih rendah berbanding 86 peratus yang diumumkan Emiriah Arab Bersatu (UAE) berdasarkan data awal ujian di sana.
[INFOGRAFIK] Vaksin buatan Sinovac: Apa yang kita tahu setakat ini?

* Kandungan ini dikemas kini pada 15 Januari 2021, berdasarkan laporan awal kajian, laporan media dan pelbagai sumber jurnal perubatan.
#COVID-19 #petugas kesihatan #vaksin #Coronavac #Sinovac #kajian vaksin #Amerika Syarikat #Indonesia #China #Brazil #Britain #Chile #UAE #Filipina #Sinopharm
;