Vaksin AstraZeneca: Penjadualan semula janji temu di WTCKL untuk 2,800 penerima vaksin
Astro Awani
Mei 10, 2021 15:28 MYT
Mei 10, 2021 15:28 MYT
PUTRAJAYA: Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar memaklumkan akan ada penjadualan semula janji temu untuk beberapa penerima vaksin AstraZeneca.
Menurutnya, keputusan itu dibuat selepas mengambil kira penularan kes yang menunjukkan peningkatan membimbangkan sejak kebelakangan ini.
“Sebagai langkah berjaga-jaga, sejumlah janji temu pada 15 dan 16 Mei di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di World Trade Centre Kuala Lumpur (WTCKL) kini perlu dipinda ke tarikh lain.
“Ia untuk elakkan kesesakan disebabkan kes meningkat. Bilangan yang kita ada sebanyak hampir 19,000 janji temu vaksin pada dua hari tersebut.
"Bilangan ini akan dikurangkan kepada 16,200. Sebanyak 2,800 janji temu yg akan dijadualkan semula kepada tarikh-tarikh lain bermula 17 Mei hingga 23 Mei ini,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin COVID-19 (JKJAV) secara dalam talian pada Isnin yang turut dihadiri Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba.
Tambah Khairy, maklumat berkaitan penjadualan semula itu akan dimaklumkan melalui pesanan ringkas dan aplikasi MySejahtera yang akan mula dihantar pada esok.
Dalam pada itu, Khairy berkata Malaysia akan menerima 259,740 dos vaksin Pfizer secara berperingkat bermula pada 19 Mei sehingga 21 Mei ini dan lebih 600,000 vaksin AstraZeneca pada bulan ini serta bulan depan.
“Penghantaran seterusnya adalah 259,740 bekalan daripada Pfizer. Pada 19 Mei kita akan terima 197,730 dos, 20 Mei (44,460 dos), 21 Mei (17,550 dos).
“Justeru, jumlah dos Pfizer yg telah dan akan diterima sehingga 21 Mei adalah sebanyak 2,490,930 dos.
“Bagi AstraZeneca, ketibaan bekalan kedua adalah pada bulan ini dan ketiga, pada awal bulan Jun dengan jumlah sebanyak 615,120 dos untuk sekali penghantaran,” ujarnya.
Sementara itu, Khairy berkata kadar penggunaan vaksin di Malaysia kini berada pada tahap 75 peratus.
“Ini bermaksud setiap empat vaksin kami ada, tiga dah digunakan. Sudah pasti kami mahu tingkatkan kepada 80 peratus tapi tidak boleh pergi lebih tinggi kerana perlu ada simpanan untuk dos kedua dan sebelum dos-dos tambahan tiba di malaysia,” katanya.
#Khairy Jamaluddin
#KKM
#vaksin
#MOSTI
#PICK
#kesihatan
#menteri
#COVID-19
#AstraZeneca
#Pfizer
#Kuala Lumpur
#Malaysia
#Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan