UUM terima 4,195 pelajar baharu untuk sesi 2024/2025

Kenyataan Media
Oktober 1, 2024 15:01 MYT
Naib Canselor UUM, Prof Datuk Mohd Foad Sakdan menyambut ketibaan pelajar baharu yang mendaftarkan diri hari ini. - Foto UUM
SINTOK: Universiti Utara Malaysia (UUM) menerima kemasukan 4,195 pelajar baharu terdiri daripada pelajar tempatan dan antarabangsa yang mengikuti 48 program pengajian Sarjana Muda sesi 2024/2025.
Menurut Naib Canselor UUM, Prof Datuk Mohd Foad Sakdan, 4,061 pelajar terbabit merupakan pelajar tempatan lulusan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM), Diploma, Matrikulasi, Asasi Pengurusan UUM dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM).
“Daripada jumlah itu, seramai 3,860 adalah pengambilan melalui Bahagian Kemasukan Pelajar Institut Pengajian Tinggi (BPKA) atau UPU dan 201 lagi adalah lepasan Asasi Pengurusan UUM.
"Bagi sesi 2024/2025 ini, kita menerima 77 pelajar antarabangsa iaitu 64 orang dari Indonesia, 12 pelajar China dan seorang dari Bangladesh bagi pengajian peringkat Sarjana Muda.
"Seramai 57 orang lagi pelajar antarabangsa adalah peserta mobiliti iaitu 34 orang dari Indonesia, 11 dari China, 7 pelajar dari Jepun, 3 dari Brunei dan 2 lagi pelajar Perancis menjadikan jumlah keseluruhan pelajar antarabangsa 134 orang.
“Dari segi pecahan jantina pula, 2,977 adalah pelajar perempuan dan 1,218 merupakan pelajar lelaki. UUM turut menawarkan tempat kepada 13 pelajar Orang Kurang Upaya (OKU) pelbagai kategori, 3 pelajar Orang Asli dan 3 atlet,” kata beliau pada sidang media selepas program menyambut ketibaan pelajar baharu ke UUM pagi tadi.
Bagi tawaran program pengajian, Sarjana Muda Perakaunan dengan Kepujian menerima kemasukan pelajar baharu tertinggi iaitu 315 pelajar diikuti oleh Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan dengan Kepujian (236), Sarjana Muda Sains Ekonomi dengan Kepujian dengan 231 pelajar dan Sarjana Muda Kewangan dengan Kepujian (171).
Program Sarjana Muda Perakaunan dengan Kepujian masih mengekalkan syarat kemasukan markah Purata Nilai Gred Kumulatif (CGPA) 4.00 bagi lepasan STPM atau Matrikulasi.
Sehingga 1 Oktober 2024, jumlah mahasiswa UUM adalah 30,149 pelajar iaitu 24,671 bagi pengajian Sarjana Muda dan 5,478 untuk pengajian pascasiswazah.
#universiti utara malaysia #kemasukan pelajar baharu #Mohd Foad Sakdan #sesi 2024 2025 #sarjana muda
;