UUM selar provokasi terhadap hak kebebasan bersuara mahasiswa

Kenyataan Media
Mac 24, 2019 18:11 MYT
DR AHMAD BASHAWIR: UUM mengecam tindakan samseng sekumpulan pihak terhadap enam siswa UM.
Berikut ialah kenyataan media oleh Naib Canselor Universiti Utara Malaysia (UUM) Prof Dr Ahmad Bashawir Abdul Ghani berhubung insiden mahasiswa universiti dikasari dalam satu protes di Kuala Lumpur baru-baru ini.

UNIVERSITI Utara Malaysia (UUM) mengecam keras tindakan berunsur samseng atau gangster oleh sekumpulan pihak terhadap enam siswa Universiti Malaya (UM) pada hari Jumaat, 22 Mac 2019.
Pihak universiti merasa amat sedih dan tersentuh dengan laporan perilaku tidak beradab yang dilakukan oleh kumpulan tersebut.
Insiden ini jelas merupakan satu serangan dan provokasi terhadap hak kebebasan untuk bersuara dan amalan demokrasi yang didukung oleh kerajaan Malaysia.
UUM menyokong pendirian tegas oleh Dr Maszlee Malik, Menteri Pendidikan, yang mendukung keadilan dan kebebasan akademik untuk para siswa di Malaysia.
Para mahasiswa institusi pengajian tinggi harus dibenarkan untuk menzahir pandangan dan perasaan mereka secara aman.
Mereka juga harus diberi kesempatan dan ruang untuk menggunakan hak mengutarakan pandangan dan berkumpul secara damai, selagi mana ianya masih di dalam batas norma kesopanan dan rasa hormat.
Ini adalah sebahagian dari pengalaman dalam mengharungi proses pembelajaran yang diiltizamkan oleh sesebuah institusi pendidikan tinggi kepada pemegang kepentingannya.
Di UUM, para mahasiswa secara aktif didorong untuk mengambil bahagian dalam diskusi dan debat awam menggunakan platform berbicara yang dikenali sebagai 'MyStage'.
Proses pengembangan kognitif ini seharusnya tidak wajar digugat oleh campur tangan negatif dari pihak yang berkepentingan politik kerana ianya dapat memberi impak negatif kepada perkembangan pemikiran generasi pemimpin masa depan negara.
UUM amat peka dan komited dalam perkara di atas dan sentiasa bekerjasama dengan pihak berkepentingan seperti kerajaan negeri, polis, organisasi kemasyarakatan dan perwakilan mahasiswa, untuk mewujudkan suasana kampus yang selamat dan aman bagi pembelajaran dan kehidupan yang kondusif untuk semua.
Kami mendesak agar para pelaku samseng tersebut disiasat dan jika didapati bersalah, dikenakan tindakan yang sewajarnya mengikut lunas undang-undang negara.
Kami ingin memberi mesej yang jelas bahawa UUM tidak akan berkompromi dengan sebarang tindakan berunsur samseng atau gangster yang tidak beradab berlaku di dalam kawasan kampus.
Kami juga memohon agar pihak berwajib segera memberikan bantuan yang diperlukan kepada mahasiswa tersebut dan mengambil tindakan undang-undang ke atas para pelaku jika terbukti bersalah.
PROF DR AHMAD BASHAWIR ABDUL GHANI
NAIB CANSELOR
UNIVERSITI UTARA MALAYSIA

#Ahmad Bashawir #Maszlee Malik #MyStage #Proses pengembangan kognitif #siswa Universiti Malaya #tindakan berunsur samseng atau gangster
;