UUM perkenal Medicine2U, mudahkan urusan penghantaran ubat kepada staf

Abdul Hadi Che Awang
April 20, 2020 11:45 MYT
Menerusi inisiatif Medicine2U, doktor perubatan bertugas akan menyemak sejarah pengambilan ubat yang terbaharu untuk dipreskrib semula selama satu bulan, sebelum Unit Farmasi menyediakan ubat berdasarkan preskripsi yang diberi. Foto UUM TV
Susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilanjutkan hingga 28 April setakat ini, Pusat Kesihatan Universiti Utara Malaysia (PKUUM) mengambil inisiatif membantu memudahkan warga kampus yang ingin mengambil ubat-ubatan.
Melalui sistem 'Medicine2U', Pengarah PKUUM Dr Adi Azhar Abdul Razak berkata, kakitangan universiti yang tinggal jauh dari kampus tidak perlu lagi datang ke premis universiti yang terletak di bandar ini untuk mendapatkan ubat.
Adi Azhar berkata, Medicine2U adalah satu sistem baharu yang diperkenalkan bagi proses penghantaran ubat susulan, dalam memudahkan urusan staf, khususnya yang tinggal di luar kawasan kampus.
Menurutnya, perkhidmatan terbabit dikhususkan bagi staf, tanggungan staf dan pesara yang tinggal pada jarak lebih 10 kilometer dari kampus dan penghantaran hanya melibatkan ubat susulan sahaja.
Bagi pengambilan ubat menerusi inisiatif Medicine2U, doktor bertugas akan menyemak sejarah pengambilan ubat yang terbaharu untuk diberi preskripsi semula selama satu bulan, sebelum Unit Farmasi menyediakan ubatnya.
Jelas Adi Azhar, ubat terbabit kemudiannya akan dibungkus mengikut nama pesakit dan dihantar pemandu dari PKUUM ke pondok pengawal Taman Siswa, Jitra, pada keesokan harinya.
"Dengan Medicine2U, staf atau pesara yang berada di sekitar Jitra boleh menelefon di talian 2525 (kaunter rawatan) dan pendaftaran boleh dibuat. Selepas itu, nama mereka akan masuk dalam sistem perubatan dan akan disaring.
"Ubat yang boleh dikeluarkan adalah ubat susulan yang telah diambil sebelum ini dan ia akan disemak sekali lagi oleh pegawai perubatan sebelum dihantar ke farmasi.
"Di sana, pegawai farmasi akan lihat sekali lagi sebelum dikeluarkan. Selepas dikeluarkan, ubat ini akan dibungkus dan diambil oleh pemandu untuk dihantar pada esok harinya," kata Adi Azhar.
Beliau mengalu-alukan staf dan pesara yang ingin mendapatkan perkhidmatan Medicine2U supaya menghubungi kaunter rawatan tersebut bagi proses pendaftaran.
Jelasnya, inisiatif terbabit bukan sahaja dilihat mampu membantu kumpulan terlibat dalam memudahkan urusan pengambilan ubat malah memperlihatkan pematuhan yang tinggi terhadap penguatkuasaan PKP.
#Adi Azhar Abdul Razak #COVID-19 #Doktor #Jitra #kerajaan #kesihatan #luar kampus #Malaysia #Medicine2U #penghantaran ubat #perintah kawalan pergerakan #perubatan #PKP #preskripsi #sejarah pengambilan ubat #Sintok #ubat #ubat susulan #universiti #UUM
;