UUM dan tiga wilayah di Selatan Thailand rintis kerjasama pendidikan tinggi

Astro Awani
Mei 2, 2024 11:15 MYT
Mohd Foad (kiri) melakukan kunjungan hormat dan perbincangan dengan Gabenor Satun, Sakra Kapinkarn.
SINTOK: Pentadbiran wilayah Songkhla, Pattani dan Satun membuka ruang kerjasama luas dengan Universiti Utara Malaysia (UUM) di bawah sektor pendidikan tinggi bagi membangunkan dua bidang yang sangat diperlukan wilayah terbabit ketika ini.
Naib Canselor UUM, Profesor Mohd Foad Sakdan berkata, dua bidang yang diberi keutamaan khusus itu adalah latihan perguruan dan kursus berkaitan bahasa Inggeris bagi pelajar dan tenaga pengajar dari ketiga-tiga wilayah berkenaan.
Kerjasama UUM dan tiga wilayah ini dibentuk menerusi lawatan tiga hari bermula 28 hingga 30 April lalu.
Delegasi UUM telah mengadakan perbincangan terperinci dengan Gabenor Songkhla, Somnuk Promkheaw; Gabenor Pattani, Pateemoh Sadeeyamu dan Gabenor Satun, Sakra Kapinkarn berkaitan isu pendidikan serantau dan bagaimana UUM yang terletak begitu hampir dengan sempadan Selatan Thailand dapat menawarkan program atau kursus pendidikan tinggi yang sesuai dengan keperluan penduduk serta pelajar dari tiga wilayah terbabit.
“Menerusi perbincangan itu, kita dimaklumkan bahawa latihan perguruan dan kursus berkaitan bahasa Inggeris sangat diperlukan oleh wilayah Songkhla, Pattani dan Satun. Pihak kami akan melaksanakan segera pelan strategik bagi menjayakan kerjasama pendidikan ini.
“Perjumpaan kita dengan ketiga-tiga Gabenor telah pun menzahirkan satu perkembangan yang positif terutamanya dalam meningkatkan hubungan dan kerjasama dalam bidang pendidikan.
“Universiti Utara Malaysia berterima kasih kepada respon positif yang telah diberikan (dan) untuk langkah selanjutnya, pihak UUM akan membentuk pasukan yang khusus mengikut keperluan setiap wilayah berkenaan bagi memastikan apa yang telah dibincang dan dipersetujui bersama akan dapat kita laksanakan secepat yang mungkin,” jelas Mohd Foad.
Selain memenuhi keperluan pendidikan tinggi tersebut, UUM turut menawarkan pelbagai program dan kursus profesional jangka pendek seperti perniagaan Islam, pembangunan sektor halal dan teknologi komunikasi maklumat.
UUM turut menyatakan kesediaan membantu pelajar Selatan Thailand untuk menduduki ujian Malaysia University English Test (MUET) yang menjadi syarat kemasukan ke universiti di negara ini.
Delegasi UUM memulakan lawatan dengan kunjungan hormat dan perbincangan dengan Gabenor Songkhla diikuti dengan Gabenor Pattani dan menamatkan lawatan dengan kunjungan hormat ke atas Gabenor Satun.
Kunjungan hormat turut dilakukan ke atas Konsul Jeneral Malaysia di Songkhla, Ahmad Fahmi Sarkawi.
Lawatan tersebut bukan sahaja memperluaskan jaringan kerjasama UUM tetapi menyumbang kepada pengukuhan hubungan dua negara memandangkan Malaysia bakal menjadi Pengerusi Sidang Kemuncak ASEAN pada tahun hadapan.
#universiti utara malaysia #tiga wilayah Selatan Thailand #kerjasama pendidikan tinggi #MUET
;