UUM dalam kalangan 1 peratus universiti terbaik Asia
Astro Awani
Oktober 17, 2017 17:57 MYT
Oktober 17, 2017 17:57 MYT
Universiti Utara Malaysia (UUM) terus mengukuhkan kedudukan di rantau Asia apabila disenaraikan di kedudukan ke-131 dalam QS Asia University Rankings (QS Asia) 2018 yang diterbitkan pada 16 Oktober 2017.
Keputusan yang dikeluarkan oleh QS ini menyaksikan UUM melonjak 168 anak tangga sejak kali pertama disenaraikan dalam QS Asia pada tahun 2011.
Naib Canselor, Prof Datuk Seri Dr. Mohamed Mustafa Ishak berkata kedudukan terbaru itu meletakkan UUM dalam kalangan 1 peratus universiti terbaik di Asia daripada 11,900 universiti.
QS Asia 2018 menggunakan sepuluh indikator dalam menilai sesebuah universiti iaitu reputasi akademik, reputasi majikan, nisbah penuntut fakulti, petugas dengan falsafah kedoktoran (PhD), penerbitan kertas kajian fakulti, fakulti antarabangsa, pelajar antarabangsa, pelajar pertukaran (inbound & outbound) dan rujukan bagi setiap kertas kajian.