UUM bimbang kekurangan pelajar ekoran syarat baharu MUET
Bernama
Oktober 13, 2014 16:42 MYT
Oktober 13, 2014 16:42 MYT
Naib Canselor Universiti Utara Malaysia (UUM) Prof Datuk Dr Mohamed Mustafa Ishak hari ini melahirkan kebimbangan akan berlaku kekurangan pelajar bagi mengisi kekosongan tempat dalam beberapa bidang pengajian yang ditawarkan di universiti tempatan berikutan syarat baru kelayakan bagi Malaysian University English Test (MUET).
Beliau berkata ini kerana ini kerana syarat layak masuk ke universiti yang berkuatkuasa pada tahun hadapan mengkehendaki pelajar mencapai Band 2 hingga 5 dalam MUET dan bergantung kepada bidang pengajian yang dipilih.
Katanya setakat ini kira-kira 30 peratus pelajar yang kini berada di universiti tempatan berjaya mencapai Band 3,4 dan 5 dalam MUET dan selebihnya memperoleh Band 1 dan 2.
"Syarat minimum sebelum ini adalah Band 1 bagi pelajar mengikuti program sastera dan mereka akan mengikuti kelas Bahasa Inggeris dalam tempoh yang ditetapkan," katanya kepada pemberita ketika ditemui pada Dialog Pasca Bajet 2015 di sini.
Beliau berkata Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) perlu melakukan kajian yang lebih terperinci berkaitan pelaksanaannya dalam melahirkan pelajar yang boleh berbahasa Inggeris dengan baik agar mereka diterima masuk ke universiti tempatan.
Mohamed Mustafa berkata penggunaan Bahasa Inggeris dalam matapelajaran Matematik dan Sains sebelum ini amat baik dalam memastikan pelajar dapat mempelajari dan menguasai bahasa antarabangsa itu dengan baik.
"KPM juga tidak perlu menurunkan graf lulus MUET kerana ia penting bagi memastikan tahap pelajar menguasai bahasa Inggeris yang akan diaplikasi sepenuhnya di universiti. Jika graf lulus band 2 diturunkan tidak berguna juga kerana mereka gagal untuk menguasai bahasa itu dengan baik," katanya.
Beliau berharap pihak kementerian akan melaksanakan perkara itu dengan baik agar pelajar yang layak masuk ke universiti itu adalah pelajar yang boleh menguasai bahasa Inggeris dengan baik pada masa akan datang.
"Kita di peringkat universiti mampu untuk mempertingkatkan kemahiran pelajar dari Band 1 kepada 2 dan seterusnya. Kita adakan kelas bahasa Inggeris kepada mereka dalam meningkatkan penguasaan mereka terhadap bahasa kedua itu," katanya.
Jumaat lepas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dalam pembentangan Bajet 2015 mengumumkan bermula tahun hadapan, syarat kemasukan am ke institusi pengajian tinggi awam (IPTA) yang mengkehendaki pelajar mencapai tahap minimum Band 1 dalam MUET akan dipertingkatkan bagi meningkatkan keyakinan diri dan kemahiran berkomunikasi bahasa itu.
Tahap minimum baharu Band MUET untuk kemasukan bagi pengajian sastera dan sains sosial ditingkatkan kepada Band 2 (syarat graduasi ditetapkan Band 3); pengajian sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM) menjadi Band 3 (syarat graduasi Band 4); manakala Band 4 ditetapkan untuk pengajian undang-undang dan perubatan (syarat graduasi Band 5).