Utusan Sarawak tamat era cetakan selepas hampir 80 tahun, beralih ke platform digital
Bernama
Februari 27, 2025 23:42 MYT
Februari 27, 2025 23:42 MYT
Menurut Kadir, sejak tahun lepas, akhbar tersebut telah merancang secara serius untuk beralih sepenuhnya ke platform digital selepas menjalankan kajian mengenai kadar jumlah pembaca versi bercetak. - Facebook Utusan Sarawak
KUCHING: Akhbar Utusan Sarawak dan Mingguan Sarawak akan menghentikan penerbitan edisi cetak mulai esok selepas penerbitannya bermula pada tahun 1949.
Penasihat Editorial Eksekutif Utusan Sarawak, Kadir Dikoh berkata sebaliknya, pembaca boleh mengakses kedua-dua akhbar itu menerusi platform dalam talian mulai Sabtu ini.
"Mulai Sabtu, 1 Mac 2025, Utusan Sarawak akan beroperasi sepenuhnya dalam talian melalui versi web, aplikasi Utusan Sarawak serta laman Facebook Utusan Sarawak," katanya dalam hantaran di Facebook hari ini.
Bercakap kepada Bernama, katanya langkah untuk menamatkan penerbitannya dalam bentuk cetakan selepas hampir 80 tahun bukan sekadar mengikuti trend penerbitan digital semasa, tetapi juga untuk melangkaui gaya pelaporan tradisional mereka.
Katanya akhbar tertua di Sarawak yang sebelum ini dikenali sebagai penerbitan berorientasikan politik kini akan memberi tumpuan lebih kepada laporan berasaskan masyarakat dan penyampaian berita secara terus terang.
"Kami akan cuba mengurangkan liputan berita berunsur politik serta isu berkaitan agama atau budaya. Kami hanya mahu memberi laporan yang terus kepada kandungan seperti jenayah, kemalangan, banjir dan perkara seumpamanya," katanya.
Menurut Kadir, sejak tahun lepas, akhbar tersebut telah merancang secara serius untuk beralih sepenuhnya ke platform digital selepas menjalankan kajian mengenai kadar jumlah pembaca versi bercetak serta membandingkan kajian data dengan versi dalam talian.
Beliau berkata hasil kajian menunjukkan bilangan pembaca akhbar terutamanya dalam kalangan warga emas semakin berkurangan seiring dengan peningkatan literasi teknologi maklumat.
"Pada masa yang sama, jumlah pengikut platform digital mereka kekal sekitar 4,000 orang sebelum tahun 2023 tetapi mula beroperasi secara agresif pada pertengahan tahun tersebut, jumlah itu meningkat secara mendadak kepada 83,000," katanya.
Menurutnya peningkatan ketara itu berlaku terutamanya semasa program Kembara Kenali Borneo di mana Yang di-Pertuan Agong ke-16, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan ahli keluarga baginda mengadakan jelajah darat dari Sabah ke Sarawak pada September 2023.
"Jumlah pengikut video dalam talian mula meningkat ketika Kembara Yang di-Pertuan Agong, di mana kami merakam banyak video dan memuat naiknya secara aktif dan dari situ, saya dapat melihat bahawa inilah hala tuju baharu kami," katanya.
Kadir berkata peralihan ke platform digital juga meletakkan Utusan Sarawak pada kedudukan yang tepat untuk berkongsi aspirasi generasi muda, yang kini membentuk majoriti populasi negara.
Menurutnya platform digital membolehkan akhbar itu menyediakan ruang lebih luas untuk kerajaan mendekati golongan muda yang turut berperanan menentukan hala tuju pentadbiran negara.
"Jika kerajaan mahu meyakinkan pengundi, mereka tidak boleh lagi bergantung kepada akhbar cetak. Itu sasaran yang sudah terlepas," katanya, sambil menambah bahawa dalam tempoh tertentu, versi dalam talian Utusan Sarawak akan membawa lebih banyak manfaat kepada masyarakat.
Mengakui bahawa peralihan sepenuhnya ke digital adalah satu langkah besar selepas hampir lapan dekad sebagai akhbar bercetak, Kadir berharap semua pembaca setia akan menyertai perubahan ini.
"Saya berharap mereka yang sebelum ini membaca versi cetak dapat beralih ke platform digital. Mereka boleh mendapatkan berita dengan lebih pantas dan lebih terperinci. Kami mempunyai aplikasi, laman web dan Facebook kami sendiri," katanya.
-- BERNAMA