UTP menang Anugerah Tenaga Negara sebagai pengiktirafan usaha kemampanan

Bernama
Mac 18, 2024 04:30 MYT
Anugerah Tenaga Kebangsaan 2023 untuk UTP disampaikan Fadillah (tengah) pada majlis yang diadakan di Kuala Lumpur 8 Mac lalu. - Foto UTP/BERNAMA
KUALA LUMPUR: Universiti Teknologi Petronas (UTP) telah menerima Anugerah Tenaga Kebangsaan (NEA) 2023 di bawah Kategori Anugerah Khas untuk Institusi Pengajian Tinggi, sebagai pengiktirafan terhadap usaha-usaha kemampanannya.
UTP dalam kenyataan berkata anugerah itu telah disampaikan oleh Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air Datuk Seri Fadillah Yusof di majlis NEA yang diadakan pada 8 Mac di Kuala Lumpur.
"Pencapaian ini menyerlahkan komitmen UTP yang tidak berbelah bahagi terhadap penjagaan alam sekitar dan sokongannya terhadap matlamat Petronas untuk mencapai pelepasan sifar karbon menjelang 2050," menurut kenyataan itu.
NEA yang diterajui oleh Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air mengiktiraf penggunaan konsep dan amalan tenaga mampan untuk organisasi perniagaan Malaysia, merangkumi semua industri dan sektor.
Sementara itu Naib Canselor UTP Prof Datuk Dr Mohamed Ibrahim Abdul Mutalib berkata UTP selari sepenuhnya dengan sasaran Petronas, dan secara aktif menterjemah komitmen ini kepada tindakan-tindakan yang ketara dengan mempergiatkan usaha untuk meningkatkan kecekapan tenaga dan menerima teknologi yang lebih bersih.
"Usaha kami boleh dilihat melalui inisiatif Kampus Rendah Karbon kami, termasuk sistem 7.4MWp panel solar PV atas bumbung yang inovatif - pemasangan panel solar atas bumbung tunggal terbesar di Malaysia.
"Selain mempromosikan pilihan pengangkutan mampan, langkah pemuliharaan air. dan projek penghijauan kampus, inisiatif ini telah terbukti mengurangkan jumlah jejak karbon UTP," katanya.
Beliau berkata universiti itu juga mengiktiraf kepentingan penanda aras antarabangsa dan berhasrat untuk terus meningkatkan usaha dan ranking kemampanannya seperti Quacquarelli Symonds (QS) World Sustainability Rankings yang berfungsi sebagai mekanisma berharga dalam proses berterusan ini.
"Universiti-universiti ini diletakkan di kedudukan yang unik untuk memacu perubahan positif. Kami menjalankan penyelidikan yang membangunkan teknologi tenaga bersih yang inovatif, sementara program pendidikan kami memperlengkapkan generasi akan datang dengan pengetahuan dan kemahiran yang diperlukan untuk membina masa hadapan yang mampan.
"Selain itu melalui penglibatan komuniti, kami boleh memperkasakan kakitangan dan pelajar kami untuk melakukan amalan bertanggungjawab terhadap alam sekitar," katanya.
Mohamed Ibrahim berkata UTP kekal berdedikasi untuk menyumbang secara aktif kepada masa depan yang mampan, memberi inspirasi kepada generasi pemimpin akan datang untuk menyokong penjagaan alam sekitar.
"Matlamat utama kami adalah untuk mencipta masa depan dalam keadaan tenaga adalah bersih, hijau dan boleh diakses oleh semua. Anugerah ini mendorong kami untuk teruskan perjalanan ini dan memberi inspirasi kepada yang lain untuk menyertai kami dalam usaha penting ini," katanya.
-- BERNAMA
#UTP #Anugerah Tenaga Kebangsaan 2023 #alam sekitar #Mohamed Ibrahim Abdul Mutalib
;