UTP, JBPM Seri Iskandar terima anugerah berprestij inovasi pintar
Bernama
Disember 7, 2023 20:55 MYT
Disember 7, 2023 20:55 MYT
IPOH: Universiti Teknologi PETRONAS (UTP) dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Seri Iskandar telah mendapat pengiktirafan menerusi kerjasama cemerlang mereka dalam inovasi Smart Home Guard, baru-baru ini.
UTP dalam kenyataan memaklumkan Smart Home Guard mendapat pengiktirafan dalam kategori hibrid atau inovasi kolaboratif yang menonjolkan inovatif projek berkenaan dan potensinya dalam merevolusikan keselamatan rumah.
Menurut kenyataan itu, pada majlis Anugerah Inovasi Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan 2023, UTP dan JBPM Seri Iskandar diberi penghormatan atas kerjasama strategik mereka dan pengiktirafan itu menyerlahkan lagi kerjasama berkesan antara kedua-dua pihak dalam membangunkan serta melaksanakan penyelesaian inovatif.
"Dibangunkan dengan kerjasama Teknologi Gensonic, Smart Home Guard merupakan gril inovatif yang menggabungkan penderia termaju dan sistem komunikasi masa nyata, mencipta penyelesaian keselamatan rumah dengan menggunakan pengawal mikro dikenali sebagai miniGen.
"Ia dilengkapi dengan sistem penderia tanpa wayar yang menampilkan keupayaan pintar. Jika asap berbahaya dikesan oleh pengesan asap, penggera akan dicetuskan.
"Serentak dengan itu, menggunakan tetapan miniGen, mekanisme kunci pada gril terbuka secara automatik dalam tempoh lima saat. Pelepasan pantas kunci ini adalah penting dalam mempercepatkan usaha menyelamat nyawa oleh JBPM, untuk memadamkan kejadian kebakaran dan memudahakan pemindahan penghuni," menurut kenyataan itu.
Sementara itu, Naib Canselor UTP Prof Datuk Dr Mohamed Ibrahim Abdul Mutalib berkata peingiktirafan itu juga mengukuhkan komiteman antara UTP dan JBPM Seri Iskandar dalam memajukan teknologi untuk manfaat masyarakat.
"Ia juga mencerminkan dedikasi kami untuk memupuk kerjasama berkesan yang melangkaui sempadan tradisional dan membawa perubahan bermakna," katanya dalam kenyataan sama.
Mohamed Ibrahim berkata projek itu bertujuan memanfaatkan teknologi pintar, sekali gus meningkatkan kedua-dua keselamatan rumah dan keupayaan tindak balas kecemasan.
"Smart Home Guard berfungsi sebagai model untuk kerjasama masa depan antara institusi akademik dan pihak berkuasa tempatan, mempamerkan hasil positif yang boleh timbul daripada usaha bersama," katanya.
Untuk berita terkini, ikuti kami di WhatsApp Astro AWANI