UTM terima 3,154 pelajar baharu bagi sesi akademik 2024/2025

Bernama
September 28, 2024 04:30 MYT
Pelajar baharu UTM bakal mengikuti Program Minggu Mesra Mahasiswa bermula semalam hingga Isnin bagi membuka ruang kepada mereka menyesuaikan diri dengan kehidupan dan suasana kampus. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Seramai 3,154 pelajar baharu mendaftar ke Universiti Teknologi Malaysia (UTM) termasuk kohort pertama pelajar Fakulti Kecerdasan Buatan (FAI) bagi pengajian Sarjana Muda Sepenuh Masa bagi sesi akademik 2024/2025 bermula Sabtu.
Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UTM, Prof Dr Ali Selamat berkata daripada jumlah itu seramai 2,977 pelajar mendaftar pengajian di kampus UTM Johor Bahru dan 177 pelajar di kampus UTM Kuala Lumpur.
"Kesemua pelajar ini akan mengikuti pengajian program Sarjana Muda di 12 fakulti yang terdapat di UTM termasuklah di Fakulti AI," katanya dalam kenyataan semalam.
Beliau berkata tiga fakulti utama merekodkan bilangan pelajar tertinggi iaitu Fakulti Alam Bina dan Ukur (FABU) dengan seramai 503 pelajar, Fakulti Kejuruteraan Elektrik (FKE) (357 pelajar) dan Fakulti Sains (FS) seramai 343 pelajar.
Menurutnya FAI yang baharu ditubuhkan pula bakal menerima 101 pelajar bagi kohort pertama semalam dan bakal mengikuti program Sarjana Muda AI dengan Kepujian selama tiga tahun di UTM Kuala Lumpur.
Dalam pada itu, Ali berkata seramai 986 pelajar antarabangsa dari 37 negara bakal mengikuti pengajian di UTM untuk sesi akademik baharu ini dengan China mencatat bilangan pelajar baharu tertinggi iaitu 497 pelajar, diikuti Sudan seramai 140 pelajar dan 84 pelajar dari Indonesia.
Beliau berkata bagi mempertingkatkan kecekapan dan memudahkan proses pendaftaran pelajar baharu, UTM turut melaksanakan buat pertama kalinya modul e-Daftar dan e-Hostel melalui aplikasi UTMSmart yang dibangunkan sepenuhnya oleh kepakaran dalaman.
"Para pelajar yang menerima tawaran kini boleh melakukan prapendaftaran secara dalam talian. Proses ini melibatkan penghantaran dokumen penting pelajar bagi tujuan pendaftaran awal, permohonan kad matrik dan juga penetapan kolej kediaman yang dibuat melalui sistem ini.
"Selain itu, tempoh pendaftaran pada hari ini turut dipendekkan apabila para pelajar yang telah pun mengetahui nama kolej kediaman masing-masing melalui sistem terbabit dengan mengimbas kod QR melalui aplikasi UTMSmart," katanya.
Prihatin terhadap pelajar berkeperluan khas terutamanya kategori B10 serta pelajar Orang Kurang Upaya (OKU), Ali berkata UTM akan merangka program khas bagi memastikan pelajar berkenaan diberikan bantuan,didikan dan pemantauan rapat selain Kolej Rahman Putra digazetkan sebagai kolej mesra OKU.
Beliau berkata pelajar baharu ini bakal mengikuti Program Minggu Mesra Mahasiswa (3M) bermula semalam hingga Isnin ini untuk membuka ruang kepada mereka menyesuaikan diri dengan kehidupan dan suasana kampus UTM.
-- BERNAMA
#UTM #pelajar baharu #Fakulti Kecerdasan Buatan #pendaftaran pelajar
;