Utamakan soal negara dan rakyat: Anwar, Muhyiddin hentikan pertikaian peribadi, kes saman fitnah
Bernama
Jun 14, 2024 19:26 MYT
Jun 14, 2024 19:26 MYT
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Tan Sri Muhyiddin Yassin bersetuju menghentikan pertikaian peribadi dan prosiding kes saman fitnah.
Ringkasan AI
- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Pengerusi Perikatan Nasional Tan Sri Muhyiddin Yassin bersetuju menghentikan pertikaian peribadi dan prosiding kes saman fitnah.
- Mereka memutuskan untuk tidak mengeluarkan sebarang kenyataan susulan terkait perkara itu dan berharap keputusan ini dihormati oleh semua pihak.
- Sebelum ini, Muhyiddin menyaman Anwar RM200 juta berhubung dakwaan hutang peneroka Felda dan Anwar memfailkan saman fitnah terhadap Muhyiddin berhubung dakwaan gaji semasa menjadi penasihat ekonomi Selangor.
Anwar dan Muhyiddin dalam kenyataan bersama di laman Facebook masing-masing hari ini berkata keputusan itu dibuat setelah mempertimbangkan kesan fitnah kepada umum serta mengambil kira saranan Hakim Mahkamah Tinggi dan keadaan semasa negara yang perlu diutamakan, terutamanya soal kelangsungan kehidupan rakyat.
Kenyataan bersama itu menyebut mereka bersetuju untuk tidak mengeluarkan sebarang kenyataan susulan terkait perkara itu serta berharap keputusan itu dapat diterima dan dihormati oleh semua pihak.
"Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Tan Sri Muhyiddin Yassin berharap agar perkara itu tidak dijadikan bahan yang boleh mengganggu-gugat kesejahteraan dan kestabilan awam serta keyakinan rakyat kepada Institusi Kehakiman Negara," menurut kenyataan bersama itu.
Presiden PKR dan presiden Bersatu dalam kenyataan bersama itu turut merakamkan penghargaan kepada Hakim Mahkamah Tinggi dan pegawai-pegawai mahkamah yang terlibat.
Sebelum ini Muhyiddin menyaman Anwar RM200 juta berhubung dakwaan perdana menteri bahawa kerajaan PN sebelum ini tidak menghapuskan RM8.3 bilion hutang peneroka Felda.
Anwar yang merupakan pengerusi Pakatan Harapan turut memfailkan saman fitnah terhadap Presiden Bersatu itu berhubung dakwaannya bahawa Anwar menerima gaji RM15 juta daripada kerajaan Selangor semasa berkhidmat sebagai penasihat ekonominya.
-- BERNAMA