Utamakan pemberian vaksin kepada pengamal media langkah tepat - Wan Saiful

Bernama
Mei 30, 2021 04:31 MYT
Wan Saiful berharap proses pemberian vaksin kepada pengamal media dapat diselesaikan dengan segera. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Keputusan kerajaan mengutamakan pengamal media dalam pemberian vaksin adalah satu langkah tepat bagi memastikan mereka dapat menjalankan tugas dengan lebih yakin dalam suasana pandemik yang mencabar, kata Ketua Penerangan Bersatu Datuk Wan Saiful Wan Jan.
Beliau berkata ramai pengamal media meredah pandemik demi melaporkan berita yang betul maka amatlah wajar pengiktirafan dan penghargaan diberikan kepada mereka dengan cara meletakkan mereka sebagai petugas barisan hadapan seterusnya diberi keutamaan dalam mendapatkan vaksin.
"Ini menunjukkan keprihatinan Khairy Jamaluddin (Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan) dan kerajaan Perikatan Nasional (PN) terhadap kebajikan pengamal media yang setiap hari memainkan peranan penting memastikan rakyat mendapat maklumat tepat.
"Jasa wartawan dalam menyampaikan informasi terkini kepada rakyat memang tidak dapat dinafikan. Tanpa wartawan, mustahil berita-berita dan maklumat penting akan dapat disebarluaskan ke seluruh negara dengan cepat dan pantas, termasuklah berita-berita mengenai wabak yang sedang melanda," menurutnya dalam kenyataan semalam.
Sebagai tanda penghargaan kerajaan PN kepada para wartawan dan sempena Hari Wartawan Nasional yang jatuh pada 29 Mei, Wan Saiful berharap proses pemberian vaksin kepada pengamal media dapat diselesaikan dengan segera.
"Kita masih lagi dalam suasana menyambut Hari Wartawan Nasional dan syabas kepada Khairy Jamaluddin yang mengumumkan beberapa hari lepas bahawa beliau telah menerima nama hampir 6,000 pengamal media yang akan dimasukkan dalam senarai penerima vaksin dalam masa terdekat," katanya.
Khamis lepas, Khairy berkata sejumlah 5,867 petugas daripada 114 agensi media berdaftar akan mendapat janji temu suntikan vaksin COVID-19 bermula minggu pertama bulan Jun.
-- BERNAMA
#Wan Saiful Wan Jan #Media #COVID-19 #pandemik #Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan #vaksin #pengamal media #langkah tepat #Hari Wartawan Nasional
;