'Utamakan isu ekonomi semasa Perhimpunan Agung UMNO' - Rahim
Wan Syamsul Amly
November 26, 2015 15:02 MYT
November 26, 2015 15:02 MYT
Perhimpunan Agung UMNO Disember ini harus menekankan isu pembangunan ekonomi orang Melayu yang dilihat masih ketinggalan dari pelbagai aspek.
Veteran UMNO, Tan Sri Abdul Rahim Thamby Chik berkata, ia memastikan usaha parti konsisten untuk melihat kedudukan Melayu di kelompok sama dengan bangsa yang lain.
"Pemimpin UMNO di setiap peringkat juga harus ikhlas memperjuangkan hasrat serta menyelesaikan kemelut orang Melayu untuk dilihat lebih maju dalam ekonomi.
"Beri mereka mandat lebih lagi. Beri setiap pemimpin yang ada pangkat di dalam GLC sekarang ini untuk bergerak dalam satu pasukan dan menggerakkan gerakan dasar yang mempertahan ekonomi rakyat Malaysia secara keseluruhannya"
"Orang Melayu mahu melihat kejayaan yang lebih nyata terhadap ekonomi sama seperti bangsa lain. Jika mereka tidak dapat mengadakan transformasi dalam pengimbangan ekonomi, statistik kekuatan dalam perjuangan masih di takuk lama," katanya ketika ditemui di pejabatnya di sini hari ini.
Jelasnya, Kerajaan selama ini sudah memberi banyak peruntukan untuk melihat penguasaan ekonomi orang Melayu sebanyak 30 peratus menjadi kenyataan.
"Kerana itu kita kena membulat tekad untuk mencapai kejayaan selepas Perhimpunan Agung UMNO ini dan semua bukan setakat perlu menegur pemimpin malah menegur pemimpin jika ada isu yang perlu diperjelaskan," jelasnya.
Sebelum ini, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, Kerajaan akan membentangkan hasil kaji selidik dan kajian berhubung usaha memperkasakan ekonomi Bumiputera pada Perhimpunan Agung UMNO Disember ini.
Tegasnya, hasil yang akan dimasukkan di dalam Kad Laporan Ekonomi Bumiputera itu sekali gus akan menepis dakwaan golongan Bumiputera dipinggirkan dari aspek berkenaan.