Utamakan graduan Ijazah Sarjana Muda Pendidikan- NUTP

Raja Hisyam Raja Zaid
Jun 21, 2021 17:25 MYT
Aminuddin berkata mereka yang berlatarbelakangkan pendidikan telahpun diuji tahap kemahirannya berbanding graduan lain. - Foto Facebook/ Aminuddin Awang
KUALA LUMPUR : Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP) berharap agar graduan yang memiliki Ijazah Sarjana Muda Pendidikan diberi keutamaan bagi mengisi setiap kekosongan jawatan guru di negara ini.
Presidenya, Aminuddin Awang berkata ini kerana mereka yang berlatarbelakangkan pendidikan telahpun diuji tahap kemahirannya berbanding graduan lain.
“Bidang pendidikan adalah bidang yang kompleks dan saya berharap kerajaan mengutamakan mereka daripada lepasan graduan yang memiliki Ijazah Sarjana Muda atau sekurang-kurangnya ijazah dalam bidang lain tetapi memiliki Diploma Pendidikan,” katanya ketika dihubungi Astro AWANI pada Isnin.
Aminuddin ketika mengulas mengenai cadangan Kementerian Pendidikan untuk mengisi 18,702 jawatan guru yang diperlukan disamping mencapai perancangan di bawah Pelan Pemulihan Negara berkata, jika kerajaan memberi ruang tersebut maka masalah kekurangan guru itu mungkin dapat diselesaikan.
Namun sekiranya ia masih belum mencukupi beliau bersetuju jika kerajaan mahu meneruskan usaha mengisi kekosongan tersebut secara terbuka kepada lepasan graduan daripada pelbagai bidang.
“Bagaimanapun mereka perlulah diberikan asas terlebih dahulu sebelum mereka boleh mula memasuki sekolah-sekolah. Ini kerana kerjaya perguruan ini tidak sama dalam bidang lain. Ini adalah langkah bagi menjamin kualiti dan mutu sistem pendidikan negara,” katanya.
Tambahnya graduan pendidikan yang masih menganggur ini menguasai segala aspek kurikulum Abad ke-21 termasuk Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT) yang diperlukan di sekolah kini.
Malah graduan pendidikan tersebut juga telah menguasai Kurikulum Standard Sekolah Menengah (KSSM) dan juga semua elemen di dalam Dokumen Standard Kurikulum dan Pentaksiran (DSKP) terkini.
“Graduan pendidikan ini mempunyai minat, pengetahuan, kemahiran, dan sikap profesionalisme sebagai seorang pendidik selari dengan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM),” katanya lagi.
#Astro #Astro Awani #sekolah #pendidikan #guru #Malaysia #Sabah #Kementerian Pendidikan #Radzi Jidin #graduan pendidikan #KBAT #NUTP #Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia
;