KOTA KINABALU: Sabah perlu mengutamakan golongan miskin tegar dalam inisiatif membabitkan pertanian, perikanan dan industri makanan bagi membantu golongan ini keluar daripada kemiskinan tegar.

Justeru, Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata beliau sudah mengarahkan Kementerian Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah (MAFFI) mengutamakan golongan itu dalam program dan pelan tindakannya sebagai sebahagian inisiatif membasmi golongan miskin tegar di Sabah.

"Data eKasih setakat 18 Mei tahun ini menunjukkan ketua isi rumah miskin tegar Sabah menurun kepada 8,699. Saya harap lebih banyak inisiatif di bawah MAFFI akan melibatkan mereka. Kami mahu memastikan mereka dapat keluar daripada kemiskinan yang teruk," katanya selepas mengadakan lawatan kerja ke MAFFI di Wisma Pertanian di sini hari ini.

Beliau berkata berdasarkan taklimat daripada empat jabatan serta empat agensi di bawah MAFFI, pelan telah dirancang untuk memacu industri pertanian, perikanan dan makanan Sabah.

"Apa yang penting, Lembaga Padi dan Beras Sabah (LPBS) yang diluluskan baru-baru ini mesti dilaksanakan secepat mungkin bagi meningkatkan tahap sara diri (SSL) Sabah," katanya.

Hajiji mahu syarikat berkaitan kerajaan yang memiliki tanah tidak digunakan agar dimajukan sebagai kawasan pertanian, khususnya padi seperti diamanahkan oleh Kabinet negeri dan MAFFI boleh memberikan bantuan dalam menyediakan sumber diperlukan.

Terdahulu, Timbalan Ketua Menteri I Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan yang juga Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan berkata dengan penubuhan LPBS matlamat ditetapkan untuk meningkatkan SSL Sabah kepada 65 peratus pada 2030 dan 100 peratus pada 2035.

Dr Jeffrey berkata tumpuan LPBS adalah untuk meningkatkan hasil padi daripada purata 2.9 tan metrik kepada tujuh tan metrik sehektar menjelang 2030, memajukan sawah padi terbiar untuk menambah keluasan dan membuka sawah padi baharu melalui perkongsian dengan GLC negeri serta pelaburan swasta.

"Bidang kuasa LPBS akan termasuk pengeluaran lesen eksport, import dan permit serta pembungkusan dan penjualan padi serta beras di Sabah," katanya.

-- BERNAMA