Usul yang dibentangkan tidak melibatkan cadangan pendaftaran pemilih secara automatik - SPR
Astro Awani
Julai 4, 2019 22:23 MYT
Julai 4, 2019 22:23 MYT
Usul yang dibentangkan pada Khamis di Dewan Rakyat hanya berkaitan dengan penurunan had umur mengundi daripada 21 tahun kepada 18 tahun.
Kata Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), usul ini tidak melibatkan apa-apa cadangan untuk pendaftaran pengundi secara automatik.
Pengerusinya, Azhar Azizan Harun berkata, pelaksanaan usul pindaan kepada Perkara 119(1)(a) Perlembagaan Persekutuan tersebut yang dibentangkan di Dewan Rakyat pada Khamis, hanya boleh dilakukan setelah pindaan dibuat kepada Borang A di bawah Peraturan 12 Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Pendaftaran Pemilih) 2002 dan Borang 10 di bawah Peraturan 19(10) Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Penjalanan Pilihan Raya) 1981.
"Untuk tujuan tersebut, salinan pindaan ke atas Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Pendaftaran Pemilih) 2002 dan Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Penjalanan Pilihan Raya) 1981 perlu dibuat edaran di dalam sesi persidangan Dewan Rakyat untuk perhatian serta makluman Ahli-Ahli Yang Berhormat.
"Manakala apa-apa usul mengenai pendaftaran pengundi secara automatik pula akan melibatkan pindaan kepada Perkara 119, khususnya Perenggan (4)(b) Perlembagaan Persekutuan.
"Pindaan ini adalah berbeza dari usul pindaan mengenai penurunan had umur mengundi kepada 18 tahun," katanya.
Tambahnya, kenyataan itu bagi menjelaskan laporan media yang tidak tepat dan mengelirukan yang pendaftaran pemilih secara automatik dapat dilaksanakan bersekali dengan pindaan had umur mengundi itu tanpa kelulusan Parlimen.
#Dewan Rakyat
#had umur undi
#Perlembagaan Persekutuan
#pindaan perlembagaan
#SPR
#Suruhanjaya Pilihan Raya