Usul pengosongan jawatan Yang Dipertua Dewan Rakyat ikut Perlembagaan
Bernama
Julai 13, 2020 21:20 MYT
Julai 13, 2020 21:20 MYT
Usul kerajaan supaya Tan Sri Mohamad Ariff Md Yusof mengosongkan jawatan sebagai Yang Dipertua Dewan Rakyat, dilakukan mengikut perlembagaan dan adalah sah, kata Pakar Perlembagaan Prof Madya Dr Shamrahayu Abd Aziz.
Beliau menjelaskan, apabila sesuatu usul telah diterima oleh speaker untuk dimasukkan dalam agenda, sebenarnya ia telah diputuskan sebagai sah, mengikut Peraturan-peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat.
"Kalau kita lihat pada persidangan pagi tadi, ia adalah sejarah bagi negara, sebab pertama kali usul dibuat untuk mengosongkan jawatan speaker.
"Pada pendapat saya, apabila meneliti peruntukan undang-undang, sama ada Perlembagaan Persekutuan dan Peraturan-peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat, ia (usul itu) menepati peraturan ditetapkan," katanya ketika ditemu bual dalam program 'Malaysia Petang Ini', terbitan Bernama TV, hari ini.
Terdahulu ketika Persidangan Dewan Rakyat, usul kerajaan untuk Mohamad Ariff mengosongkan jawatan sebagai Yang Dipertua Dewan Rakyat diluluskan dewan, meskipun pada awalnya mendapat bantahan keras daripada pihak pembangkang.
Usul itu diluluskan melalui undi belah bahagian, yang menyaksikan 111 Ahli Parlimen bersetuju, manakala 109 lagi tidak bersetuju, dengan usul berkenaan.
Ia dicadangkan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, atas alasan terdapat pencalonan lain bagi jawatan Yang Dipertua Dewan Rakyat.
Bekas Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Datuk Azhar Azizan Harun, dipilih sebagai Yang Dipertua Dewan Rakyat ke-10 hari ini.
Azhar merupakan calon tunggal yang dikemukakan untuk memegang jawatan itu, yang diusulkan oleh perdana menteri mengikut Peraturan Mesyuarat 4(1), Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat.
Justeru itu, Shamrahayu menyifatkan usul itu adalah pengalaman baharu bagi sistem demokrasi di negara ini.
"Keputusan adalah majoriti tipis, tetapi kalau dilihat di sudut undang-undang keputusan kecil atau besar, ia tetap satu majoriti. Apa yang perlu tonjolkan ia memberi hak kepada setiap ahli dewan menyatakan undinya secara sedar.
"Ia bermakna keputusan itu mendapat keyakinan, walaupun berbeza satu atau dua undi, ia adalah satu keputusan majoriti," katanya.
#agenda
#Dewan Rakyat
#kerajaan
#Kuala Lumpur
#menteri
#Muhyiddin Yassin
#Parlimen
#pembangkang
#Perdana Menteri
#pilihan raya
#rakyat
#Suruhanjaya Pilihan Raya
#undang-undang