Usul minta Peguam Negara letak jawatan cabar prerogatif Agong - Hafarizam
Bernama
Mac 15, 2016 07:31 MYT
Mac 15, 2016 07:31 MYT
Seorang peguam berkata cadangan Badan Peguam Malaysia meminta Tan Sri Mohamed Apandi Ali meletak jawatan sebagai Peguam Negara samalah seperti mencabar prerogatif diraja Yang di-Pertuan Agong.
Datuk Mohd Hafarizam Harun berkata Peguam Negara dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong dan penyingkirannya juga atas perkenan baginda sekiranya baginda memutuskan Peguam Negara tidak layak atau tidak mampu menunaikan tugasnya.
Badan Peguam Malaysia akan membahaskan pada mesyuarat agung tahunannya Sabtu ini, satu usul meminta Mohamed Apandi mengundur diri sebagai Peguam Negara.
Usul itu juga meminta Peguam Cara Negara melaksanakan peranan sebagai Pendakwa Raya dalam kes-kes di mana Badan Peguam Malaysia berpendapat Peguam Negara tidak lagi layak untuk bertindak sebagai Pendakwa Raya.
"Apa jua perbincangan akan diertikan sebagai mencabar prerogatif diraja Yang di-Pertuan Agong," kata Mohd Hafarizam ketika dihubungi pada Selasa, untuk mendapatkan komen beliau tentang usul itu.
Beliau berkata usul untuk mencela dan menuntut peletakan jawatan Mohamed Apandi tidak pernah berlaku sebelum ini, serta tidak perlu kerana Peguam Negara tidak terlibat dengan salah laku sebagai Pendakwa Raya atau melakukan sebarang salah laku besar berkaitan tugas berkanunnya.
"Kita perlu ingat sebagai Peguam Negara, kuasa beliau seperti yang termaktub dalam Perkara 145 Perlembagaan Persekutuan, terserah sepenuhnya kepada budi bicara beliau sendiri dan tidak tertakluk kepada penelitian kehakiman.
"Inilah yang menjadi dasar utama bagi sistem keadilan jenayah di mana pengasingan bidang kuasa antara badan kehakiman dan pendakwaan diputuskan.
"Oleh itu, saya menggesa agar perlu ada sikap saling menghormati antara Badan Peguam Malaysia, sebagai sebuah badan yang diwujudkan melalui Akta Profesion Undang-undang dengan pejabat Peguam Negara," katanya.
Beliau berkata hanya dengan wujudnya sikap saling menghormati dan memahami itu, barulah pentadbiran keadilan jenayah dapat dimartabatkan di tahap tertinggi.
#2.6 bilion
#Apandi Ali
#Majlis Peguam
#Mohd Hafarizam Harun
#Peguam Cara Negara
#SRC International
#Steven Thiru