Usul isu MySejahtera: Beri jaminan keselamatan data rakyat Malaysia - Senator Zahid
Harits Asyraf Hasnan
Mac 31, 2022 17:21 MYT
Mac 31, 2022 17:21 MYT
KUALA LUMPUR: Dewan Negara menggesa Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin memberi jaminan berkenaan keselamatan data peribadi pengguna aplikasi MySejahtera.
Ketika mengemukakan usul isu MySejahtera di Dewan Negara, Senator Muhammad Zahid Md Arip berkata keselamatan data merupakan perkara pokok dalam isu tersebut.
"Kerajaan membangunkan aplikasi MySejahtera adalah untuk mengekang penularan COVID-19, tetapi jika keselamatan data peribadi rakyat jadi taruhan, sudah barang tentu ia amat mendukacitakan kita.
"Justeru Dewan ini mahu jaminan keselamatan daripada YB Menteri (Kesihatan) bahawa semua data peribadi rakyat Malaysia tidak akan sesekali tergadai dan dimanipulasi oleh pihak tertentu," katanya di Dewan Negara hari ini.
Selain itu, Muhammad Zahid turut mengemukakan beberapa persoalan yang perlu dijawab Khairy termasuk melibatkan proses pengambilalihan aplikasi tersebut.
"Ada yang bertanya kenapa syarikat swasta MySJ Sdn Bhd dipilih untuk mengurus aplikasi ini, tidak melalui tender terbuka, ukuran apa yang digunakan dalam memilih MySJ Sdn Bhd ini.
"Ada juga yang pelik bagaimana individu penting dalam KPISoft Malaysia Sdn Bhd, iaitu syarikat yang membangunkan aplikasi MySejahtera ini boleh berada dalam MySJ Sdn Bhd.
"Ertinya muka yang sama berada di syarikat baru. Operasi ini seolah-olah menukar baju sahaja, sedangkan tubuh yang sama memakai baju baru," katanya lagi.