Usul ditolak kerana Kerajaan Johor tidak mohon isytihar darurat - Hanipa
Harits Asyraf Hasnan
Mac 14, 2019 19:46 MYT
Mac 14, 2019 19:46 MYT
HANIPA: Dalam kes ini, tiada sebarang permohonan dikemukakan kepada Kerajaan Persekutuan. Buat masa ini, saya tidak tahu masa akan datang. - Gambar fail
Usul tergempar mememinta pengisytiharan darurat bencana di Pasir Gudang ditolak Kerajaan kerana ia tidak mengikut ketetapan arahan Akta Majlis Keselamatan Negara (MKN).
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Mohamed Hanipa Maidin berkata mengikut Arahan 20 Akta MKN, sesebuah kerajaan negeri perlu mengemukakan permohonan kepada Kerajaan Persekutuan jika berkehendaki sesuatu kawasan itu diisytiharkan darurat.
“Dalam kes ini, tiada sebarang permohonan dikemukakan kepada Kerajaan Persekutuan. Buat masa ini, saya tidak tahu masa akan datang.
“Ini kerana Kerajaan Negeri Johor merasakan bahawa mereka masih boleh menanganinya,” katanya kepada media di lobi Parlimen hari ini.
Beliau sebelum itu besama dengan beberapa lagi kementerian lain turut menggulung perbahasan usul tergempar tersebut yang dikemukakan Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim.
Bagaimanapun semasa mengakhiri penggulungan perbahasan tersebut, Hanipa berkata tindakan yang dilakukan Kerajaan Persekutuan pada ketika ini sudah seperti langkah dalam keadaan Pasir Gudang diisytihar darurat.
“Untuk makluman semua, walaupun tidak lagi berpendapat perlu adanya darurat, kita telah pun menjalankan kerja seolah-olah ada darurat,” katanya.
#akta majlis keselamatan negara
#Mohamed Hanipa Maidin
#Pasir Gudang
#pengisytiharan darurat bencana kim kim
#Sungai Kim Kim
#Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri
#Usul darurat ditolak