Usul ditolak, kerajaan dan PM masih tidak terjejas - Penganalisis
Irwan Muhammad Zain
Mac 24, 2022 16:23 MYT
Mac 24, 2022 16:23 MYT
KUALA LUMPUR: Kegagalan usul kerajaan untuk melanjutkan peruntukan Seksyen 4(5) Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) diluluskan di Dewan Rakyat pada Rabu memperlihatkan kelemahan kerajaan.
Menurut penganalisis politik, Prof Madya Azizuddin Mohd Sani, perkara seperti yang terjadi di Dewan Rakyat pada Rabu itu sepatutnya tidak berlaku.
Namun Azizuddin menjelaskan, penolakan usul tersebut tidak menjejaskan kerajaan dan juga perdana menteri kerana pentadbiran sedia ada hanya hilang kepercayaan sekiranya tewas dalam undi tidak percaya dalam Dewan Rakyat.
"Saya rasa dengan kegagalan kerajaan memenangi usul semalam sebenarnya masih lagi tidak menjejaskan kerajaan dan perdana menteri.
"Kerana untuk menjejaskan kerajaan khususnya perdana menteri ia masih memerlukan undi percaya atau undi tidak percaya di Parlimen, dimana usul perlu dibawa ke Parlimen untuk diadakan proses tersebut.
"Tetapi setakat gagal ini ia bukan satu cerminan kegagalan kepada perdana menteri tetapi secara realitinya tidak sepatutnya berlaku dalam politik Malaysia," katanya kepada Astro AWANI.
Beliau juga menjelaskan, sekiranya usul tersebut mahu dibawa semula ke Dewan Rakyat, ia wajar dirundingi dengan anggota kerajaan dan pembangkang.
"Dalam konteks ini saya rasa, sekiranya masih lagi ada keperluan rang undang-undang ini nak dibawa untuk kali kedua masih lagi boleh dibawa tetapi perlu ada rundingan dalam kerajaan juga supaya majoritinya cukup.
"Selain itu rundingan perlu dibuat dengan pembangkang supaya mereka faham dan mungkin boleh memberi pandangan dan penambahan kepada rang undang-undang tersebut.
"Jadi saya rasa ini mungkin satu polemik baru yang wujud tetapi setakat hari ini ia masih belum dilihat memecah belahkan atau menggagalkan MoU antara kerajaan dan Pakatan Harapan," katanya.
Beliau juga menjelaskan, penolakan usul kerajaan pada Rabu itu menimbulkan persoalan ke mana perginya 30 Ahli Parlimen kerajaan yang tiada dalam Dewan.
Selain itu, jelas Azizuddin lagi, timbul juga persoalan kenapa usul tersebut tidak dirundingi terlebih dahulu dengan Pakatan Harapan sebelum ia dibentangkan.