Usul cadangan wujud Suruhanjaya Perkhidmatan Kesihatan

Bernama
September 18, 2017 15:38 MYT
Mengenai MalaysianDRG, Dr Subramaniam berkata ia merupakan aplikasi pangkalan data yang merangkumi maklumat pengurusan kesihatan termasuk aspek kos rawatan dibangunkan oleh Bahagian Perkembangan Perubatan melalui Sistem Casemix.- Gambar Fail.
Kementerian Kesihatan akan mengemukakan cadangan kepada kerajaan untuk mewujudkan Suruhanjaya Perkhidmatan Kesihatan bagi menjaga hal ehwal kebajikan profesional kesihatan, kata Menterinya Datuk Seri Dr S. Subramaniam.
Perkara berkenaan pernah dibincangkan dengan Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) dan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) untuk mengeluarkan para pengamal perubatan daripada tangga gaji penjawat awam dan mewujudkan satu suruhanjaya seperti pasukan polis dan tentera tetapi tidak mendapat sokongan dan kelulusan daripada kerajaan, katanya.
Beliau berkata dengan adanya badan itu, ia akan mempunyai skim penjawatan tersendiri serta berupaya menambah baik gaji anggota skim perkhidmatan kesihatan termasuk doktor berbanding kini yang mana penjawatan mereka tertakluk di bawah JPA.
"Kita sentiasa berusaha dari semasa ke semasa bagi memastikan skim perjawatan warga kementerian terbela sejajar menjamin kualiti perkhidmatan kesihatan kepada rakyat," katanya mengulas cadangan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi agar skim dan struktur gaji profesional kesihatan disemak semula bagi mengelak masalah kehilangan tenaga mahir ke luar negara.
Bercakap dalam sidang media selepas melancarkan Aplikasi Malaysia Diagnosis Related Groups (MalaysianDRG) Versi Kedua di Institut Kanser Negara di sini hari ini, Dr Subramaniam berkata kementerian berharap semakan itu dapat dilaksanakan berikutan saranan Ahmad Zahid itu.
Mengenai MalaysianDRG, Dr Subramaniam berkata ia merupakan aplikasi pangkalan data yang merangkumi maklumat pengurusan kesihatan termasuk aspek kos rawatan dibangunkan oleh Bahagian Perkembangan Perubatan melalui Sistem Casemix bagi membolehkan pihaknya melakukan penambahbaikan dan menyemak kualiti perkhidmatan kesihatan kepada rakyat.
"Setiap tahun, rakyat Malaysia terus mendapat perkhidmatan kesihatan berkualiti tinggi yang mampu dimiliki dan disubsidi oleh kerajan. Namun, kementerian perlu membangunkan kaedah untuk mengira kos sebenar perkhidmatan yang diberikan bagi menambahbaik tadbir urus klinikal selaras dengan program transformasi kesihatan," katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata jumlah perbelanjaan sektor awam dan swasta adalah hanya 4.49 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar, yang mana 52 peratus (RM23 bilion) dibelanjakan oleh Kementerian Kesihatan untuk penyediaan kemudahan dan perkhidmatan kesihatan kepada rakyat.
-- BERNAMA
#Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi #JPA #Kementerian Kesihatan #MalaysianDRG #penjawat awam #S Subramaniam #SPA #Suruhanjaya Perkhidmatan Kesihatan
;