Usul angkat jawatan ketua Wanita UMNO kepada Timbalan Presiden parti esok
Sahlizah Mohamed
Disember 5, 2019 13:03 MYT
Disember 5, 2019 13:03 MYT
Pergerakan Wanita UMNO akan mencadangkan usul pindaan perlembagaan untuk mengangkat jawatan ketua pergerakan sayap itu kepada Timbalan Presiden parti dalam mesyuarat Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2019 esok.
Ketuanya, Datuk Noraini Ahmad memberitahu, usul itu akan dibawa ke dalam mesyuarat dan seterusnya dibincangkan dan dipersetujui dalam mesyuarat di bawah usul pindaan perlembagaan.
“Satu lagi adalah menaik taraf status Wanita UMNO daripada Naib Presiden ke Timbalan Presiden. Ini adalah The New Deal yang dibawa oleh parti dan memberi pemerkasaan kepada Wanita UMNO,” katanya pada Khamis.
Noraini berkata demikian pada sidang media selepas memberi ucapan dasar Pergerakan Wanita UMNO pada PAU, di Pusat Dagangan Dunia Putra.
Menurut beliau, cadangan itu telah lama dibuat dan kini sudah tiba masanya Wanita UMNO diangkat ke peringkat yang lebih tinggi selepas menerima pengikirafan sebagai tulang belakang parti.
“Kalau ikut keahlian UMNO, kita yang paling ramai iaitu 1.2 juta orang. Pemerkasaan wanita di dalam parti ini itu yang saya nak ucapkan ribuan terima kasih kepada presiden parti dan kepimpinan parti.
“Timbalan Presiden yang memberi kepercayaan untuk wanita membawa idea dan membawa usul supaya jawatan ketua wanita itu setaraf dengan timbalan presiden,” katanya.
Noraini juga berharap agar usul itu akan dipersetujui di peringkat akar umbi.