Usul ADUN Perak isytihar harta diluluskan
Abd Razak Mohd Ali
Julai 23, 2019 16:58 MYT
Julai 23, 2019 16:58 MYT
Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak yang bersidang hari ini meluluskan usul yang menghendaki semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perak mengisytiharkan pendapatan dan harta.
Mereka dikehendaki mengisytiharkan harta mereka, harta milik pasangan masing-masing, anak-anak dan akaun pemegang amanah dalam Akuan Berkanun dalam bentuk dan borang yang dipersetujui oleh Speaker.
Pengisytiharan itu perlu dilakukan dalam masa tiga bulan selepas usul diluluskan iaitu pada atau sebelum 23 Oktober depan.
Usul dibawa ADUN Pasir Bedamar Terence Naidu itu selaras dengan yang dibuat kerajaan pusat di bawah pimpinan Pakatan Harapan (PH), yang memperjuangkan prinsip akauntabiliti dan ketelusan.
Hampir semua ADUN kerajaan dan pembangkang mengambil bahagian di dalam perbahasan satu-satunya usul yang dibentangkan pada hari pertama persidangan.
Pengundian hanya dibuat secara bersuara sahaja dan lebih banyak suara bersetuju.
ADUN Aulong, Nga Kor Ming menyifatkan keputusan itu sebagai satu sejarah kerana Perak menjadi negeri pertama berbuat demikian selepas Dewan Rakyat dan Dewan Negara.
Beliau yang juga Timbalan Speaker Dewan Rakyat berkata, usul itu mengikuti semua lunas undang-undang yang dibuat secara betul dengan tata tertib.
“Apabila usul ini telah diluluskan maka ia menjadi sebahagian daripada undang-undang. Sesiapa sahaja yang gagal mematuhi usul ini boleh dirujuk kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan di bawah Perkara 72,” katanya pada sidang media selepas sidang DUN ditangguhkan untuk hari ini.
Sementara itu, Ketua Pembangkang, Datuk Saarani Mohamad berkata, mereka bukannya menolak usul tersebut tetapi tidak bersetuju untuk mengisytiharkan harta kepada Speaker.
Sehubungan itu, katanya, semua ADUN pembangkang bersetuju sebulat suara untuk mengisytiharkan harta kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sahaja.
“Speaker adalah orang politik. Siapa boleh beri jaminan bahawa Speaker tidak akan menyalahgunakan butiran itu dalam ceramah politik dia?” soalnya.
#ADUN
#ADUN kerajaan
#Dewan Rakyat
#DUN Perak
#isytihar harta
#Nga Kor Ming
#Pakatan Harapan
#pembangkang
#perbahasan
#Saarani Mohamad
#Speaker
#SPRM
#Terence Naidu
#undian
#usul