Ustazah sekolah dikhuatiri hilang
Bernama
Januari 16, 2019 22:10 MYT
Januari 16, 2019 22:10 MYT
Seorang ustazah di Sekolah Kebangsaan Genting, di sini dikhuatiri hilang selepas tidak hadir mengajar ke sekolah sedangkan keretanya berada di luar kawasan sekolah berkenaan sejak semalam (Selasa).
Ketua Polis Daerah Barat Daya, Supt A. Anbalagan berkata, kehilangan Nur Farhana Ibrahim, 27 tahun, disedari suaminya selepas ustazah itu tidak pulang ke rumah mereka di Langgar, Kedah pada petang Isnin seperti biasa.
"Menurut suaminya, pada hari Isnin dia menghantar isterinya ke Tol Alor Setar Utara pukul 4.30 pagi untuk menumpang rakan ustazah itu ke Sungai Dua, Butterworth bagi mengambil kereta Perodua Axianya sebelum meneruskan perjalanan ke sekolah di Balik Pulau.
"Pada pukul lebih kurang 4.30 petang, suami mangsa yang merupakan peniaga itu menghubungi telefon bimbit isterinya, namun tidak berjawab dan apabila lelaki berkenaan pulang ke rumah mendapati telefon bimbit ustazah berkenaan berada dalam bilik tidur dipercayai tertinggal," katanya di sini Rabu malam.
Menurutnya, suami mangsa yang berusia 30 tahun itu menghubungi rakan-rakan isterinya untuk bertanya kedudukan wanita tersebut, namun mereka semua tidak tahu di mana ustazah berkenaan berada dan memaklumkan kereta isterinya berada di luar kawasan pagar sekolah.
Anbalagan berkata lelaki itu pergi ke sekolah isterinya pada Selasa dan menurut guru besar sekolah berkenaan ustazah tersebut hadir ke sekolah mengajar seperti biasa pada hari Isnin, namun tidak datang ke sekolah pada Selasa.
Katanya, suami mangsa telah berusaha mencari isterinya di kawasan sekitar sekolah dan berhampiran namun tidak menjumpai wanita itu.
"Beg duit, kunci kereta serta alatan menulis milik ustazah itu berada di atas meja bilik guru sekolah berkenaan. Pihak polis dengan bantuan orang ramai melancarkan operasi mencari wanita tersebut namun sehingga malam ini masih gagal ditemui," katanya.
Beliau berkata polis juga menggunakan perkhidmatan unit pengesan anjing K9 Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi membantu mengesan ustazah berkenaan dan setakat ini belum menemui sebarang petunjuk.
Katanya, menurut suami mangsa, isterinya pernah menerima rawatan kemurungan pada tahun 2014 dan ustazah itu dipercayai mengalami kemurungan berikutan berulang alik setiap hari dari Langgar ke Balik Pulau untuk mengajar di sekolah berkenaan.
Jarak sehala kira-kira 100 kilometer dan difahamkan ustazah itu telah banyak kali memohon untuk berpindah ke Kedah supaya lebih dekat dengan keluarganya.
"Lelaki itu juga mendakwa dia dan isterinya tidak mengalami masalah rumah tangga dan mereka mempunyai seorang anak perempuan berusia tiga tahun. Saya minta kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung wanita itu agar tampil menyalurkan maklumat kepada polis," katanya. -- Bernama