Ustaz trauma dipukul dua anggota polis

Adie Sufian Zulkefli
Februari 14, 2016 15:04 MYT
Mohd Na'im menceritakan bagaimana dia dipukul oleh dua orang anggota polis. - Astro AWANI
Seorang Ustaz trauma apabila didakwa dibelasah dua anggota polis yang menahannya dalam satu sekatan jalan raya di Gurun, Kedah.
Dalam kejadian pada 9 Feb lalu, mangsa Mohd Na'im Zakaria, 30, sedang dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Kampung Haji Majid, Guar Cempedak.
Mangsa, seorang guru agama di Sekolah Kebangsaan Simpang 3, Sungai Daun Dekat Kota Sarang Semutdi sini, ditahan oleh dua anggota berpangkat Sarjan dan Koperal untuk pemeriksaan lanjut pada malam kejadian berkenaan.
Mohd Na'im berkata, sebaik ditahan dia terus digari dan dibawa masuk ke dalam balai secara paksa tanpa dimaklumkan apa kesalahan yang dilakukan.
"Sebaik melangkah masuk pagar balai, saya terus dipukul di belakang. Mereka tumbuk, sepak, tendang dan heret saya macam saya penjenayah.
"Apabila saya meronta kesakitan, mereka pegang belakang saya dan pukul belakang saya bertalu-talu," katanya.
Selepas ditahan hampir lima jam di lokap, Mohd Na'im kini mahu maruah dirinya dipertahankan.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Md Zukir Md Isa mengesahkan kejadian itu dan berkata kes disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan.
Katanya, siasatan dalaman turut dilakukan terhadap dua anggota polis terbabit.
#ustaz dipukul anggota polis