Ustaz mati lemas akibat bot dinaiki karam di Kota Belud
Ruzaini Zulkepli
September 3, 2019 23:37 MYT
September 3, 2019 23:37 MYT
Seorang ustaz sebuah Sekolah Agama Negeri (SAN) ditemukan mati lemas selepas bot dinaikinya karam dalam kejadian di perairan laut Nanamun, berhampiran Kampung Tamau, Kota Belud, pada Selasa.
Dalam penemuan pada 6.28 petang itu, mangsa dikenali sebagai Ahmad Sharil Basir, 28, dijumpai penduduk kampung berhampiran.
Terdahulu, mangsa dan bapanya, Basir Ayub, 70, dikatakan pergi keluar memukat ikan di perairan tersebut kira-kira jam 5 pagi tadi sebelum bot dinaiki mereka karam.
Bapa mangsa yang dilaporkan selamat dalam kejadian itu kemudiannya memaklumkan bot dinaiki mereka karam manakala mangsa dipercayai hilang sebelum ditemukan mati lemas.
Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Belud, Asisten Superitenden Tan Guan Chai ketika dihubungi mengesahkan kejadian tersebut.
"Pada jam lebih kurang 6.28 petang, mangsa telah ditemui penduduk kampung berhampiran pantai di kawasan perairan Kampung Rampayan Nanamun, Kota Belud.
"Mangsa telah dibawa ke Hospital Kota Belud menaiki kenderaan pasukan untuk tindakan lanjut," katanya.
Menurut beliau, polis terdahulu menerima laporan pada jam 8 pagi berhubung insiden itu selepas salah seorang keluarga mangsa memaklumkan kejadian tersebut.
Sejurus menerima laporan, operasi menyelamat dilakukan dengan melibatkan pasukan keselamatan termasuk Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan lain-lain.