Ustaz Kazim semakin pulih, dibenarkan keluar HUSM hari ini
Muhafandi Muhamad
Februari 22, 2016 23:17 MYT
Februari 22, 2016 23:17 MYT
Penceramah bebas, Ustaz Datuk Kazim Elias dibenarkan pulang hari ini selepas dimasukkan ke Hospital Universiti Sains Malaysia, HUSM sejak Jumaat lalu.
Menurut Pakar Jantung HUSM Prof Datuk Dr Zulkurnain Yusof, Kazim telah mengalami serangan jantung dan ia kali pertama beliau mengalaminya.
Katanya, Kazim telah menjalani rawatan angiogram dan stenting semalam, berikutan salah satu saluran koronari arterinya tersumbat.
Dr Zulkurnain berkata, beliau tidak dibenarkan untuk menjalankan sebarang aktiviti ceramah selama enam minggu.
Pada sidang media di HUSM, pagi tadi, Kazim berkata, keadaannya stabil, namun memerlukan rehat secukupnya.
Beliau turut menjelaskan akan menangguhkan semua aktiviti dan program ceramahnya selama enam minggu.
Jumaat lalu, Kazim mengadu sakit dada ketika berceramah di Gunong, Bachok, sebelum dibawa HUSM Kubang Kerian.
Kazim yang tiba di Kelantan petang Jumaat dari Terengganu, dijadualkan menyampaikan ceramah agama selama dua jam bermula 9 malam, anjuran Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA).