Ustaz Kazim masih dirawat, perlukan rehat
Muhafandi Muhamad
Februari 20, 2016 17:51 MYT
Februari 20, 2016 17:51 MYT
Penceramah bebas, Datuk Kazim Ilias yang dikejarkan ke hospital malam tadi, masih dirawat di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian dan berada dalam keadaan stabil.
Beliau kini ditempatkan di Unit Rawatan Koronari (CCU) hospital berkenaan.
Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob yang meluangkan masa melawat Kazim siang tadi dan memaklumkan penceramah bebas mengalami keletihan dan ingin berehat.
"Dia (Kazim) sedang berehat dan bila dirujuk pada doktor tiada kes luar biasa, tapi saya rasa dia penat lah.
"Seorang pendakwah bebas seperti Ustaz Kazim tentulah kepenatan dan kita harap dia pulih InsyaAllah dia sihat.
"Dia nak berehat untuk stabilkan keadaan dia, jadi perlu berehat lah," katanya kepada pemberita di lobi HUSM di sini, hari ini.
Menurut Ahmad lagi, sebagai penceramah bebas yang terkenal dan sentiasa menerima jemputan sudah pasti masa untuk berehat tidak mencukupi.
Kazim sepatutnya menjayakan ceramah anjuran Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (Kada) di pekarangan pejabat Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Sri Gunong, Bachok, pada malam Jumaat.
Namun beliau hanya sempat menyampaikan ceramah selama 10 minit sebelum meminta maaf di hadapan kira-kira 2,000 penonton selepas mengadu penat.
Kazim terus dibawa ke Klinik Kesihatan Jelawat untuk menerima rawatan awal sebelum dipindahkan ke HUSM Kubang Kerian.