Ustaz Don kongsi 7 amalan sunnah ketika berpuasa, rugi kalau tak amalkan
Maskulin
Mac 13, 2024 19:00 MYT
Mac 13, 2024 19:00 MYT
KEHADIRAN bulan Ramadan yang mulia perlu kita ambil kesempatan memohon keampunan daripada Yang Maha Esa. Sehubungan itu, Ustaz Don Daniyal Don Biyajid berkongsi amalan sunnah yang rugi kalau kita tak amalkan. Oleh itu, mari kita amalkannya.
Coretan Ustaz Don ini sememangnya menyentuh hati. Kita hanya manusia biasa yang tidak dapat lari daripada membuat kesilapan.
Ada kala kita mungkin telah melampaui batas dengan imaginasi kotor, percakapan dan perbuatan yang tidak betul menjadikan kita selalunya semakin jauh dengan Allah SWT.
Namun kasih sayang Allah SWT kepada hamba-Nya terlalu besar dan sentiasa membuka pintu taubat kepada kita. Sempena Ramadan pada tahun ini marilah kita sekurang-kurangnya selalu menjaga tujuh sunnah nabi, selain daripada tarawih, setiap hari.
Pertama:
Tahajud, kerana kemuliaan seorang mukmin terletak pada tahajudnya. Pastinya doa mudah termakbul dan menjadikan kita semakin hampir dengan Allah.
Kedua:
Membaca al-Quran sebelum terbit matahari. Alangkah baiknya sebelum mata melihat dunia, sebaiknya mata membaca Al-Quran terlebih dahulu dengan penuh pemahaman. Paling tidak jika sesibuk manapun kita, bacalah ayat 3 Qul atau ayat Qursi.
Ketiga:
Jangan tinggalkan masjid terutama di waktu subuh. Sebelum melangkah ke manapun, langkahkan kaki ke masjid, kerana masjid merupakan pusat keberkahan, bukan kerana panggilan muadzin tetapi panggilan Allah yang mencari orang beriman untuk memakmurkan masjid Allah.
Keempat:
Jaga solat dhuha, kerana kunci rezeki terletak pada solat dhuha. Yakinlah, kesan solat dhuha sangat dasyat dalam mendatangkan rezeki.
Kelima:
Jaga sedekah setiap hari. Allah menyukai orang yang suka bersedekah, dan malaikat Allah selalu mendoakan kepada orang yang bersedekah setiap hari. Percayalah, sedekah yang diberikan akan dibalas oleh Allah berlipat kali ganda.
Keenam:
Jaga wuduk terus menerus kerana Allah menyayangi hamba yang berwuduk. Kata khalifah Ali bin Abu Thalib: “Orang yang selalu berwuduk sentiasa ia akan merasa selalu solat walau ia sedang tidak solat, dan dijaga oleh malaikat dengan dua doa, ampuni dosa dan sayangi dia ya Allah”.
Ketujuh:
Amalkan istighfar setiap saat. Dengan istighfar masalah yang terjadi kerana dosa kita akan dijauhkan oleh Allah.
Zikir adalah bukti syukur kita kepada Allah. Bila kita kurang bersyukur, maka kita kurang berzikir pula, oleh kerana itu setiap waktu harus selalu ada penghayatan dalam melaksanakan ibadah ritual dan ibadah ajaran Islam lainnya.
Zikir juga merupakan makanan rohani yang paling bergizi, dan dengan zikir berbagai kejahatan dapat ditangkal sehingga jauhlah umat manusia dari sifat-sifat yang berpangkal pada materialisme dan hedonisme.
Sebarkanlah ilmu ini, dan anda tidak akan rugi sedikitpun, sebarkan, semoga ianya memberi manfaat pada semua. - Maskulin/ Nona