Ustaz dakwa dipukul polis: KPN arahkan siasatan terperinci

Dewi Nur Harasha Alias
Februari 15, 2016 22:10 MYT
KHALID: Jika benar tohmahan yang dibuat guru itu, sudah pasti tindakan akan diambil terhadap mereka yang bertanggungjawab.
Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata pihaknya telah mengarahkan siasatan terperinci dijalankan berhubung dakwaan seorang ustaz dipukul dua anggota polis di Balai Polis Gurun Selasa lalu.
Katanya, Ketua Polis Kedah telah diarahkan untuk menyiasat dakwaan terbabit dan tindakan tegas akan diambil sekiranya benar anggota terbabit melakukan kesalahan sebagaimana yang didakwa guru agama tersebut.
Tegas Khalid, pihaknya tidak akan melindungi dan akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pegawai dan anggotanya sekiranya didapati melakukan kesalahan.
"Sekali lagi, saya sahkan jika ada salah laku dikalangan pegawai dan anggota kami, kita takkan lindungi (mereka).
"Siasatan tetap dijalankan. Jika benar tohmahan yang dibuat guru itu, sudah pasti tindakan akan diambil terhadap mereka yang bertanggungjawab.
"Saya telah arahkan supaya siasatan rapi dijalankan," katanya.
Semalam, seorang guru agama dari Kedah mendakwa cedera di kepala dan tangan akibat dibelasah dua anggota polis yang menahannya dalam satu sekatan jalan raya di Gurun, Kedah.
Dalam kejadian pada 9 Feb lalu, pengadu Mohd Na'im Zakaria, 30, sedang dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Kampung Haji Majid, Guar Cempedak apabila dia ditahan oleh dua anggota berpangkat Sarjan dan Koperal untuk pemeriksaan.
Mangsa mendakwa terus digari dan dibawa masuk ke dalam balai berkenaan secara paksa tanpa dimaklumkan kesalahan yang dilakukan.
#Ketua Polis Kedah #Ketua Polis Negara #Khalid Abu Bakar #ustaz dipukul polis
;