Usrah Perdana UIS: Mengangkat martabat ilmu dan akhlak

Kenyataan Media
Oktober 30, 2024 18:50 MYT
Prof. Madya Lukman Abdullah (kanan) dijemput sebagai penceramah usrah sempena sambutan Bulan Akademia UIS.
PEKA dan perihatin isu semasa yang berlegar dalam landskap akademik dan perkembangan isu-isu jati diri anak muda masa kini, Masjid Al-Azhar, Universiti Islam Selangor (UIS) menganjurkan Usrah Perdana kali ketiga bagi tahun 2024 dengan perbincangan bertajuk ‘Peranan warga universiti dalam mengangkat martabat ilmu dan akhlak’.
Sejajar dengan sambutan Bulan Akademia yang disambut pada bulan Oktober, Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Prof. Madya Lukman Abdullah yang dijemput sebagai penceramah usrah, mengingatkan bahawa meletakkan adab dan akhlak dalam sistem dan proses pendidikan perlu diberi keutamaan dalam kalangan pendidik dan sistem institusi pendidikan bagi melahirkan insan-insan beradab dan berakhlak mulia seiring dengan ilmu terutamanya bagi institusi pendidikan tinggi Islam.
Apatah lagi dengan fenomena semasa dalam media sosial yang begitu ketara hilang adabnya. Perkara ini sangat membimbangkan, kerana kebanyakan orang berlumba-lumba untuk berkongsi buah fikiran atau ‘kenyataan’ dan seterusnya membiarkan pelbagai komen yang tidak beradab, saling memenuhi ruang sosial yang tidak terbatas dan sukar dikawal.
Maka oleh sebab itulah sangat penting mendahulukan adab dalam proses penyampaian ilmu agar martabat ilmu itu dapat diangkat dengan akhlak terbaik. Elemen mendahulukan adab dalam penyampaian ilmu ini akhirnya akan dijiwai oleh mahasiswa yang sememangnya aktif dan akrab dengan media sosial.
Menurut beliau lagi, walaupun masa kini dunia terus maju dengan kepesatan teknologi dan kecerdasan buatan (AI), namun usaha-usaha meneruskan pengajian daurah dalam arus pendidikan moden seperti yang dilaksanakan di Universiti Islam Selangor (UIS) adalah unik, perlu disokong dan diteruskan.
Ini kerana sistem pengajian tradisional yang menjadi nadi awal sistem pembelajaran dalam sejarah Pendidikan Islam dunia sangat mementingkan adab.
Maka, peranan kakitangan akademik dan sokongan sangat besar bagi sebuah institusi untuk memimpin dan mentauladani adab dan akhlak kepada masyarakat secara holistik.
Warga universiti juga diingatkan agar beradab kepada sistem, yang bermaksud memahami dan patuh kepada peraturan-peraturan yang telah ditetapkan oleh institusi.
Pensyarah sebagai penyampai ilmu misalnya, perlu beradab dalam proses pengajaran dan pembelajaran, mematuhi masa atau jadual pengajaran yang ditetapkan dan beretika dalam penulisan. Ini kerana bermula di peringkat asas pendidikan, kanak-kanak akan mempelajari tingkah laku guru dan ibu bapanya terlebih dahulu, barulah kemudiannya proses pembelajaran ilmu berlaku secara berperingkat.
Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Pengantarabangsaan) UIS, Prof. Madya Zetty Nurzuliana Rashed, yang turut hadir dalam program usrah berkenaan, menyatakan bahawa pendidikan adab dan akhlak mahasiswa dan mahasiswi adalah menjadi keutamaan dalam proses tarbiah di UIS.
Beliau menegaskan bahawa adab dan akhlak pensyarah dalam mendidik pelajar juga perlu diberi perhatian utama agar matlamat pendidikan berteraskan ta'dib dapat dicapai dengan penuh tanggungjawab. Usaha ini penting dalam membentuk generasi muda yang bertamadun tinggi serta memiliki integriti yang kukuh.
Usrah Perdana yang menjadi rutin perkongsian ilmu, sesi tarbiah jiwa dan sokongan sosial dalam kalangan kakitangan akademik dan sokongan pagi tadi dihadiri oleh lebih 300 warga Universiti Islam Selangor dan turut di sertai oleh mahasiswa yang memenuhi ruang Masjid Al-Azhar, UIS.
Rahmahtunnisah Sailin
Biro Penerangan dan Penerbitan
Masjid Al-Azhar UIS
#UIS #Masjid al-Azhar #usrah perdana #adab dalam pendidikan
;