USM universiti awam pertama di Malaysia sediakan kemudahan ujian TOEFL iBT

Bernama
September 28, 2022 05:00 MYT
Akreditasi daripada ETS membuktikan bahawa makmal komputer USM dan kakitangannya memiliki standard dan pematuhan yang bertaraf global, kata Faisal Rafiq (dua, kanan). - Facebook Universiti Sains Malaysia
GEORGE TOWN: Universiti Sains Malaysia (USM) menjadi universiti awam pertama di negara ini yang menyediakan kemudahan Ujian Bahasa Inggeris sebagai Bahasa Asing Berasaskan Internet (TOEFL iBT) untuk mana-mana calon berdaftar di seluruh dunia susulan pelancaran Pusat Ujian Berasaskan Komputernya atau dikenali sebagai Pusat CBT@USM.
Naib Canselor USM Profesor Datuk Dr Faisal Rafiq Mahamd Adikan berkata Pusat CBT@USM, dengan kerjasama USAINS Holding Sdn Bhd, telah menerima akreditasi untuk mentadbir Ujian TOEFL iBT daripada Perkhidmatan Ujian Pendidikan (ETS) di Amerika Syarikat.
"Kami yakin pusat ini mampu menyediakan persekitaran ujian kelas terbaik untuk calon terutama mereka yang berasal dari bahagian utara Malaysia.
"Akreditasi daripada ETS ini membuktikan bahawa makmal komputer USM mahupun kakitangannya memiliki standard dan pematuhan yang bertaraf global," katanya kepada pemberita pada majlis pelancaran pusat itu di sini semalam.
Beliau juga yakin pencapaian itu akan terus membantu usaha USM untuk menarik lebih ramai pelajar antarabangsa melanjutkan pengajian mereka di universiti tersebut yang kini mempunyai lebih 6,000 pelajar dari luar negara.
Ketua Projek Pusat CBT@USM Profesor Madya Dr Shaik Abdul Malik Mohamed Ismail pula berkata pencapaian ini hanyalah langkah pertama bagi pusat itu kerana ia sudah mempunyai rancangan untuk mengendalikan produk ujian bertaraf dunia ETS seperti Ujian Bahasa Inggeris Bagi Komunikasi Antarabangsa (TOEIC), TOEIC Bridge, TOEFL - Program Ujian Institusi (ITP), TOEFL Junior and TOEFL Primary.
"Para profesional, pengurus dan pekerja peringkat permulaan daripada syarikat multinasional boleh mendapat manfaat dengan menduduki ujian TOEIC kerana ia akan memberi nilai tambah kepada resume mereka dan mempertingkat kemahiran bahasa seiring dengan keperluan industri.
"Ujian ini sudah diambil oleh para profesional di Jepun, Korea Selatan dan Filipina namun ia masih di peringkat awal di Malaysia," katanya.
-- BERNAMA
#Ujian Bahasa Inggeris #TOEFL iBT #Pusat CBT USM #Faisal Rafiq Mahamd Adikan