USM satu-satunya universiti di dunia diberi hak kaji koleksi digital surat Francis Light

Bernama
Oktober 23, 2018 08:27 MYT
Asma berkata, melalui Pusat Pengajian Kajian Polisi dan Pengajian Antarabangsa, hak tunggal untuk mengkaji dokumen itu diperoleh setelah lapan tahun berunding dengan pihak University London. - Gambar fail
Universiti Sains Malaysia (USM) merupakan satu-satu universiti di dunia yang diberi hak tunggal untuk mengkaji koleksi digital surat Francis Light.
Naib Canselor USM, Datuk Dr Asma Ismail berkata, koleksi bersejarah yang disimpan di School of Oriental and African Studies, Universiti London itu bakal merubah lanskap sejarah Pulau Pinang malah juga di dunia apabila tercetusnya sebuah projek dikenali sebagai 'The Beacon of Light @ USM'.
"Ini adalah koleksi digital 1,200 surat, merangkumi 11 jilid dari tahun 1771 hingga 1794, selama kira-kira 23 tahun, semuanya dalam tulisan Jawi," kata Dr Asma pada Majlis Anugerah Sanggar Sanjung USM 2017, di sini, hari ini
Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail selaku Canselor berkenan berangkat ke majlis tersebut.
Asma berkata kandungan surat-surat itu meliputi aktiviti surat menyurat dan nota yang dicatat oleh golongan pembesar Melayu, golongan kenamaan, isteri-isteri kenamaan dan juga rakan kongsi perniagaan pada ketika itu.
"Melalui koleksi ini, terdapat banyak kandungan serta isi surat tersebut untuk dikaji dengan lebih terperinci malah juga untuk diterokai oleh barisan pakar USM sendiri dalam bidang tersebut," katanya.
Beliau berkata melalui Pusat Pengajian Kajian Polisi dan Pengajian Antarabangsa, hak tunggal untuk mengkaji dokumen itu diperoleh setelah lapan tahun berunding dengan pihak University London.
Katanya, kandungan dokumen tersebut bukan sahaja disimpan dalam pelbagai bentuk oleh Perpustakaan USM untuk rujukan penyelidik dan pengkaji sejarah, malah juga akan menerima suntikan teknologi Kecerdasan Buatan atau 'Artificial Intelligence'.
"Ini juga membolehkan USM melakukan interpretasi yang lebih tepat dan mendalam selain potensi untuk kita memeriksa ketepatan sejarah dalam tempoh tersebut," katanya.
-- BERNAMA
#Asma Ismail #Francis Light #hak tunggal #Kajian #koleksi digital #penyelidik #pulau pinang #sejarah #surat #The Beacon of Light #tulisan jawi #Universiti London #Universiti Sains Malaysia #USM
;