USM cipta rekod hasilkan kaligrafi Cina 2.68km

Bernama
April 26, 2024 04:30 MYT
Choo berkata, cuaca tidak menentu menjadi cabaran utama ketika menyiapkan projek berkenaan selain kekangan masa susulan pelajar perlu menghadiri kuliah. - Gambar Bernama
GEORGE TOWN: Penuntut Universiti Sains Malaysia (USM) mencipta rekod dalam Malaysia Book of Records (MBOR) apabila menghasilkan penulisan kaligrafi Cina sepanjang 2.68 kilometer (km).
Sijil pengiktirafan diserahkan oleh Penolong Pengurus Pemasaran MBOR, Jeska Seah kepada Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni USM, Prof Dr Shaharum Shamsuddin dalam satu majlis diadakan di Foyer Perpustakaan Hamzah Sendut 1 USM, di sini.
Pengarah Projek, Choo Xuan Ping berkata, idea untuk menghasilkan kaligrafi bertemakan Prelude: Naga's Quill itu tercetus sejak pertengahan tahun lepas sebagai praacara bagi Program Siri Persembahan Pentas Persatuan Bahasa Tionghua (PBT) pada Jun depan.
Beliau berkata, bagi menjayakan projek berkenaan, lebih 1,000 penuntut terdiri daripada pelbagai bangsa dan etnik termasuk pelajar antarabangsa yang mengikuti pengajian di USM terlibat dalam penghasilan kaligrafi itu selain dibantu pelajar sekolah menengah sekitar Pulau Pinang dan orang awam.
"Tema itu mengambil perkataan daripada beberapa bahasa bagi menonjolkan kemajmukan dan kepelbagaian kaum di Malaysia di samping merapatkan perpaduan melalui interaksi budaya dalam kalangan pelajar.
"Proses ini mengambil masa tiga hari bermula Isnin dan siap pada Rabu lepas, menggunakan 28 gulung kertas kaligrafi dengan setiap individu perlu menulis sekurang-kurangnya empat patah simpulan bahasa membawa maksud baik dan positif. Secara keseluruhan kita dapat mengumpul 3,000 simpulan bahasa ditulis di atas kertas sepanjang 2.68km," katanya.
Choo berkata, cuaca tidak menentu menjadi cabaran utama ketika menyiapkan projek berkenaan selain kekangan masa susulan pelajar perlu menghadiri kuliah.
Sementara itu, Shaharum dalam ucapannya berkata, kejayaan dicapai membuktikan kecemerlangan pelajar USM yang tidak terhad dalam bidang akademik sahaja tetapi meliputi kreatif dan inovatif dalam pelaksanaan aktiviti kokurikulum.
"Kemahiran kepimpinan dan kemahiran insaniah yang ditunjukkan mereka juga merupakan bukti kemampuan luar biasa dalam menghadapi cabaran.
"Ia sekali gus mengaplikasikan kepelbagaian budaya negara untuk memperlihatkan keunikan dan aspirasi mahasiswa," katanya. - BERNAMA
#mbor #kaligrafi Cina #pelajar antarabangsa #interaksi budaya
;