USIM diiktiraf oleh universiti tersenarai Top 5 di Indonesia

Astro Awani
Mac 15, 2024 18:44 MYT
10 pelajar dari Fakulti Syariah dan Undang-Undang, USIM telah mendapat tawaran program pertukaran pelajar dengan penajaan penuh oleh Kerajaan Indonesia.
KUALA LUMPUR : Pada 25 Februari hingga 8 Mac 2024, buat julung-julung kalinya, 10 pelajar dari Fakulti Syariah dan Undang-Undang, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) telah mendapat tawaran program pertukaran pelajar dengan penajaan penuh oleh Kerajaan Indonesia untuk mengikuti kursus mobiliti pendek anjuran Universitas Brawijaya (UB), Kota Malang, Indonesia.
Program tersebut dinamakan sebagai Brawijaya International Student Mobility Program (BISMA).
Pada saat ini, UB adalah universiti Top 5 terbaik di Indonesia.
Kunjungan pelajar dan mahasiswa USIM ini tidak melibatkan sebarang implikasi kos terhadap USIM.
Program ini merupakan satu hasil pulangan (return on investment) penganjuran program edu-pelancongan ASEAN Classroom (ACL) anjuran International Law Unit (ILU), USIM di bawah kelolaan Prof Madya Dr. Mohd Hazmi Mohd Rusli yang disertai peserta-peserta dari universiti-universiti seantero Indonesia termasuk Universitas Brawijaya.
Sepanjang berlangsungnya BISMA, empat pensyarah dari FSU, USIM juga telah dijemput sebagai pembicara dalam program ‘profesor pelawat’ dengan tajaan dan sokongan daripada UB.
Para akademik dari FSU itu menyampaikan kuliah kepada para pelajar di UB dalam pelbagai skop undang-undang antarabangsa iaitu undang-undang laut antarabangsa, undang-undang jenayah antarabangsa, undang-undang perdagangan antarabangsa dan undang-undang bio-keselamatan.
Seterusnya, program berkenaan tidak hanya terhad kepada pengajaran di dalam bilik kuliah. Para peserta juga diberi peluang untuk melawat beberapa tempat menarik, termasuk Warisan Kota Kampoeng Kajoetangan, Taman Negara Gunung Bromo Tengger Semeru di Indonesia, serta pengenalan kepada pemprosesan dan pembuatan kerepek tempe di Kilang Tempe Rohani.
Sesuai dengan pembelajaran para peserta dari USIM sebagai pelajar Undang-Undang, mereka juga telah dibawa untuk berdiskusi dan diperkenalkan dengan Pusat Bantuan Guaman Fakultas Hukum UB Selain daripada itu, pertukaran adat dan budaya telah diadakan secara tidak langsung antara para peserta dari Malaysia dan Indonesia.
Program mobiliti kursus pendek anjuran UB, Indonesia bukan sahaja telah memberi peluang dan manfaat kepada para pelajar dan pensyarah yang mengikuti program tersebut, bahkan program tersebut juga menjadi satu wacana untuk membawa nama USIM dan UB ke persada dunia. Sememangnya, program mobiliti ini adalah satu bentuk pengiktirafan antarabangsa terhadap USIM oleh salah sebuah universiti terbaik di Indonesia – Universitas Brawijaya.
#USIM #program bisma #universitas brawijaya #Indonesia #pertukaran pelajar
;