Usia muda tidak halang dua sepupu teruskan perusahaan bahulu keluarga

Bernama
Mac 18, 2025 05:30 MYT
Muhammad Najmi (kanan) dan Arif Fathilah menunjukkan kuih bahulu yang dihasilkan di bengkel mereka di Melaka Pindah pada Selasa. - Gambar Bernama
ALOR GAJAH: Seorang remaja bertekad meneruskan perusahaan kuih bahulu arwah bapanya sejak lebih dua dekad lepas sebaik sahaja tamat persekolahan tingkatan lima awal tahun ini, dan menjadikan ia sebagai mata pencarian utama keluarga.
Muhammad Najmi Amzairy, 18, dari Melaka Pindah, di sini, berkata, usia muda bukanlah penghalang buatnya menceburi bidang perniagaan kerana langkah itu turut disokong ibu dan ahli keluarga yang lain serta melalui penjualan kuih bahulu itulah, Allahyarham bapanya Amzairy M Dewa, membesarkan dia dan seorang adik perempuan.
"Lagipun saya rasa sayang jika perusahaan kuih bahulu warisan ini dibiarkan kerana semua peralatan sedia ada di bengkel ... saya juga mahir dengan cara pembuatan dan resipi dipelajari daripada arwah bapa," katanya kepada pemberita, di sini.
Namun, Muhammad Najmi tidak keseorangan kerana perusahaan itu kini dikendalikan bersama sepupunya Arif Fathilah Othman, 28, yang lebih berpengalaman kerana selepas bapanya meninggal dunia pada 2021 akibat penyakit angin ahmar, tugas membuat kuih bahulu diambil alih sepupunya itu.
Muhammad Najmi berkata, sepanjang Ramadan, mereka sibuk menyiapkan tempahan yang meningkat sekali ganda memandangkan kuih tradisional itu begitu sinonim dengan perayaan Aidilfitri.
"Saya bersyukur kerana kami masih boleh meneruskan perniagaan walaupun kadangkala berdepan masalah, seperti kekurangan modal dan bahan selain kenaikan harga barangan," katanya yang menggunakan resipi warisan keluarga yang enak dengan tekstur rangup di luar dan lembut di dalam.
Sementara itu, Arif Fathilah berkata, pada mulanya dia sekadar membantu arwah bapa saudaranya selepas tamat sekolah secara suka-suka sebelum menjadikannya sebagai pekerjaan utama.
Katanya, setiap hari mereka berdua akan melakukan kerja-kerja memproses bahulu itu dari awal hingga akhir seperti menyiapkan bahan-bahan seperti telur, gula dan tepung, mencampur aduan, membakar dan mengisinya ke dalam bekas.
"Setiap hari kami boleh menghasilkan kira-kira 1,000 keping bahulu dengan menggunakan satu pengadun dan dua ketuhar pembakar ... kuih bahulu ini juga dijual dengan murah, iaitu RM17 bagi 50 keping kerana mahu membantu orang kampung yang mahu berniaga dan mencari sedikit keuntungan," katanya.
Buat masa ini, mereka mengeluarkan bahulu asli, namun berhasrat untuk melakukan kepelbagaian dengan menghasilkan kuih bahulu berperisa kopi, pandan dan strawberi pada masa akan datang.
Terdahulu, mereka menerima kunjungan Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan Melaka yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Machap Jaya, Datuk Ngwe Hee Sem yang meluangkan masa kira-kira satu jam di bengkel pembuatan kuih bahulu itu.
Ngwe berkata, pihaknya akan berusaha untuk membantu dua saudara itu dari segi bantuan peralatan baharu seperti mesin pengadun dan ketuhar pembakar selain telah menyumbang sebanyak RM500 sebagai bantuan modal membeli bahan mentah.
-- BERNAMA
#mesn pengadun #Kuih bahulu #bidang perniagaan #Aidilfitri #CeritaRamadan2025 #Ramadan2025
;