USIA disaran sesuaikan dakwah pada era digital - Hajiji

Bernama
Oktober 15, 2022 16:01 MYT
Hajiji berkata, dakwah boleh disampaikan dengan lebih berkesan jika pendakwah dan pertubuhan Islam memanfaatkan penggunaan teknologi maklumat dan komunikasi. - Gambar fail
KOTA KINABALU: Pertubuhan Islam Seluruh Sabah (USIA) disaran melaksanakan usaha dakwah menerusi Pelan Strategik Pembugaran USIA supaya gerakan dakwah itu lebih sistematik dan sesuai pada era digital semasa.
Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata, pelan itu akan menjadi dimensi baharu bagi USIA untuk meningkat dan memperkasakan semula peranannya terutama dalam gerakan dakwah seperti pada awal tahun pembentukannya.
Beliau berkata dakwah boleh disampaikan dengan lebih berkesan sekiranya pendakwah dan pertubuhan Islam memanfaatkan penggunaan teknologi maklumat dan komunikasi apabila segala maklumat kini mampu dicapai di hujung jari.
"Kita perlu meneroka pelbagai ilmu disiplin seperti sains dan teknologi agar usaha dakwah yang dilakukan dapat dimantapkan dan lebih proaktif. Kepelbagaian ilmu seperti ini akan mengupayakan kita untuk memberi kefahaman dalam menjayakan misi kepada golongan sasaran dengan lebih berkesan dan berkualiti," katanya.
Hajiji berkata demikian dalam teks ucapan pelancaran Pelan Strategik Pembugaran USIA 2022-2024 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah di sini hari ini yang dibacakan Menteri Tugas-Tugas Khas dan Penyelarasan negeri Datuk Mohd Arifin Mohd Arif.
Ketua Menteri berkata peranan dan sumbangan USIA kepada umat Islam dan penduduk Sabah secara keseluruhannya adalah amat besar selepas ditubuhkan oleh pengasasnya, Allahyarham Tun Datu Mustapha Datu Harun sekali gus menjadi pelopor kepada gerakan dakwah Islamiah di Sabah.
Hajiji turut melahirkan harapan agar USIA akan bekerjasama dengan persatuan dan badan bukan kerajaan (NGO) Islam serta agensi kerajaan yang lain dalam menggerakkan dakwah di negeri ini.
"USIA perlu meningkatkan gerakan dakwah melalui pendekatan yang lebih kreatif demi kepentingan ukhuwah dan usaha memartabatkan agama suci Islam, khususnya di negeri ini," katanya.
-- BERNAMA
#dakwah #pertubuhan islam #Hajiji Noor #Teknologi Maklumat #komunikasi
;