Usia cecah 100 tahun bukan penghalang pengayuh beca tua Kota Bharu

Muhafandi Muhamad
Julai 16, 2015 07:55 MYT
Walaupun usia sudah lanjut, namun kudrat mereka masih kuat mengayuh demi sesuap nasi.
Sekitar awal tahun 1930-an, beca roda tiga merupakan pengangkutan utama di Kelantan.
Kini beca sudah tidak sepopular dahulu. Tinggal hanya warga emas yang mengetahui sejarah dan jasa pengangkutan awam ini yang masih memilih menaiki beca roda tiga untuk ke destinasi berdekatan di bandar Kota Bharu.
Di Kelantan, masih terdapat 50 pengayuh beca di sekitar bandar Kota Bharu yang gigih menyara hidup dengan mengambil upah membanting tulang empat kerat untuk membawa penumpang ke destinasi.
Walaupun usia sudah lanjut, namun kudrat mereka masih kuat mengayuh demi sesuap nasi.
Salah seorang pengayuh beca yang ditemui ialah Omar Osman, 95, yang sudah mengayuh beca lebih 50 tahun.
Dia yang tinggal sebatang kara tidak hirau sama ada hujan atau panas kerana kehidupannya hanyalah sekitar cerita becanya.
Bapa kepada enam anak ini bukan tidak mahu menerima pelawaan anak untuk tinggal bersama, namun dia sudah biasa bekerja dan tidak mahu menyusahkan mereka.
Katanya, dia lebih selesa tinggal sendirian.
Malah, hakikatnya dia telah menyara kehidupan dan membesarkan anak-anaknya itu hasil daripada mengayuh beca.
Seperti Hari Raya sebelumnya, Aidilfitri tahun ini dirasakan seperti biasa.
“Saya duduk seorang diri dan rumah saya di sebelah sungai. Raya saya akan pergi sembahyang berseorangan dan anak-anak akan pulang,” katanya ketika ditemu bual Astro AWANI.
Dia yang mengaku tidak mempunyai sebarang penyakit berkata aktiviti mengayuh beca memberikan kesihatan kepada tubuh badannya.
Katanya, beca roda tiga kini terpinggir kerana tidak dapat menyaingi pengangkutan lain yang ada pada masa kini.
Pada Rabu, kumpulan pengayuh beca di sini dirai dan diberikan sumbangan oleh exco pelancongan dan kebudayaan Kelantan, Datuk Md Anizam Abdul Rahman.
#beca roda tiga #Omar Osman #P. Ramlee
;