Usia 73 tahun, tapi hebat memanjat pokok duku bagai tenaga orang muda
Bernama
Oktober 7, 2018 09:51 MYT
Oktober 7, 2018 09:51 MYT
Meskipun usianya mencecah 73 tahun, namun kemahiran memanjat pokok buah duku sangat mengagumkan kerana mampu membawa turun antara 100 hingga 150 kilogram buah duku dalam tempoh empat jam setiap hari.
Abdul Jalil Abdullah, bilal masjid di Kampong Banggol Karah dekat Serada di sini berkata beliau memanjat banyak pokok duku di kampung itu setiap tiba musimnya, sejak dia berumur 15 tahun lagi, dan banyak petua yang hendak dikongsinya.
"Buah duku ini sangat sensitif, ia tidak boleh dikait seperti rambutan kerana mudah lerai dan pecah. Waktu memanjat juga tidak boleh di awal pagi atau lewat petang sebaliknya waktu sesuai antara pukul 11 hingga 4 petang sahaja," katanya kepada Bernama hari ini.
"Pada usia pok (pak cik) 73 tahun ini, bukanlah upah memanjat yang dikejar sebaliknya kepuasan memanjat dan memetik sendiri duku yang masak ranum dan manis di atas pokok. Lagipun kesihatan pok masih memuaskan, tidak salah pok meneruskan hobi ini setiap kali musim duku tiba," tambahnya.
Warga emas itu dikatakan pemanjat duku tertua di kawasan itu dan dalam berkongsi rahsianya yang masih cekap memanjat sama seperti orang muda, beliau berkata tubuh badan tidak boleh terlalu besar, malah perlu kekal langsing agar badan lebih seimbang setiap kali memijak dahan pokok duku.
"Alhamdulillah, hampir 60 tahun memanjat pokok duku selama ini, pok tidak pernah terjatuh. Paling penting ialah perlu fokus setiap kali berada di atas pokok dengan niat ikhlas hendak 'mempersembahkan' duku yang manis dan sempurna kepada penggemar buah-buahan ini," katanya.
Upah pemanjat duku bergantung kepada harga semasa namun secara puratanya ialah RM0.50 untuk setiap satu kilogram.
Tinjauan Bernama di musim duku di sini ketika ini mendapati lebih 40 penduduk kampung sekitar Serada menjual sendiri buah duku di depan rumah mereka dengan harga purata RM10 untuk empat kilogram.
Bermula pukul 6.00 petang pula, berpuluh lori milik peraih akan mula masuk ke beberapa pusat pengumpulan duku sekitar Serada untuk diedarkan kepada ejen jualan di Kuantan, Johor, Kuala Lumpur dan Singapura.
Duku Terengganu yang merupakan antara varieti duku langsat yang menjadi kegemaran ramai kerana ia terkenal dengan kemanisan, kenyal, berbiji kecil dan rasa sejuk apabila dimakan.
Mohd Faizal Ali, 42, seorang peraih duku berkata kira-kira 30 penduduk kampung menghantar duku ke pusat pengumpulan di rumahnya setiap hari.
"Ada ketikanya, kami mengumpul sehingga 10 tan duku setiap hari dan pergi menghantarnya sendiri kepada ejen jualan di Kuantan setiap 12 tengah malam.
"Alhamdulillah, musim duku biasanya dapat memberi rezeki kepada ramai penduduk kampung, seperti pemanjat, penjual dan peraih untuk menikmati sedikit hasil daripada buah ini, malah kanak-kanak sekecil 12 tahun juga mampu memperolehi duit poket sendiri yang lumayan jika memiliki kemahiran memanjat pokok duku di musim ini," katanya.
-- BERNAMA
#Abdul Jalil Abdullah
#bilal masjid
#duku
#Kampong Banggol Karah
#Kuala Terengganu
#musim buah
#panjat pokok
#petua
#Serada
#warga emas