USEM peruntukkan RM1 juta untuk bantu usahawan kecil
Astro Awani
Mac 26, 2021 21:15 MYT
Mac 26, 2021 21:15 MYT
KUALA LUMPUR : Yayasan Pembangunan Usahawan Sentral Malaysia (USEM) memperuntukkan sehingga RM1 juta untuk membantu usahawan kecil di seluruh negara dengan memberikan Suntikan Modal Permulaan kepada mereka.
Pengerusinya, Datuk Zaidi Che Mat berkata, suntikan modal yang dinamakan Dana Usahawan Sentral (DAUS) itu dibahagikan kepada beberapa peringkat bermula dengan RM10,000 hingga RM100,000.
Menurutnya, ia termasuklah sokongan untuk penyata kewangan, sokongan untuk jaminan masa depan usahawan, membentuk komuniti usahawan dan pengurusan usahawan menggunakan teknologi.
“DAUS adalah inisiatif usahasama dengan usahawan di mana ia menyediakan Suntikan Modal Permulaan RM10,000 kepada usahawan dan mereka menggunakannya untuk perniagaan masing masing.
“Usahawan dapat Suntikan Modal Permulaan RM10,000 dan bayaran balik pun RM10,000, mengikut tempoh yang ditetapkan berdasarkan kertas kerja masing masing.
“Tiada sebarang faedah dikenakan. Ini adalah antara kaedah yang digunakan oleh DAUS untuk membangunkan usahawan melalui suntikan modal,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Menurutnya, program yang bermula pada Mac 2018 itu masih lagi berjalan meskipun negara kini sedang berdepan dengan ancaman COVID-19.
“Suntikan modal permulaan DAUS sebanyak RM10,000 yang pertama diagihkan pada April 2019 kepada usahawan yang mengusahakan spa bergerak beroperasi dari rumah.
“Walaupun PKP, suntikan modal DAUS masih berjalan seperti biasa. Tahun ini sasaran DAUS adalah untuk mengagihkan sebanyak RM1 juta kepada usahawan dari Perlis hinggalah ke Sabah dan Sarawak,” ujarnya.
Terbaru, lima usahawan dari Kedah merupakan penerima sumbangan tersebut melibatkan peniaga nasi lemak, kedai jahitan hiasan dalaman dan pakaian, peniaga secara vendor barangan berasaskan kekabu, kedai masakan panas dan pengeluar minuman berasaskan kopi.
#usahawan
#Kedah
#Perlis
#Malaysia
#COVID-19
#PKP
#peniaga
#bantuan
#suntikan modal
#perniagaan
#modal
#USEM
#RM
#DAUS