Usanita perkukuh kerjasama kreatif di Jakarta, tembusi pasaran serantau

Astro Awani
Julai 3, 2024 17:09 MYT
Lawatan penting tersebut diterajui oleh Adzliana dan antara ahli delegasi termasuk Erma Fatima yang merupakan penerbit dan pelakon yang pernah memenangi pelbagai anugerah.
KUALA LUMPUR: Usanita Sdn Bhd berjaya menyelesaikan misi penting tiga hari di Jakarta yang memberi fokus terhadap usaha menjalin dan memperkukuh kolaborasi dengan pemimpin industri kreatif di Indonesia serta meneroka kerjasama serantau.
Lawatan penting tersebut diterajui oleh Ketua Pegawai Eksekutif Usanita, Datuk Adzliana Hasan dan antara ahli delegasi termasuk Erma Fatima yang merupakan penerbit dan pelakon yang pernah memenangi pelbagai anugerah.
Kehadiran Erma Fatima membuktikan komitmen Usanita terhadap kecemerlangan seni dan pertukaran budaya.
Bermula 28 hingga 30 Jun, delegasi Usanita telah bertemu dengan tokoh-tokoh utama dalam industri hiburan Indonesia, termasuk Raam Punjabi dari PT Multivision Plus; Manoj Punjabi (MD Entertainment); Deddy Mizwar (PT Demi Gisela Film dan Ketua Umum Persatuan Produser Film Indonesia -PPFI), Zairin Zein, (produser dan Setiausaha Agung PPFI) dan Ilham Bintang (Pengarah PT Bintang Advis Multimedia).
Pertemuan diatur bagi meneroka peluang dalam melaksanakan projek kolaboratif dan kerjasama inovatif, selaras dengan misi pemerkasaan komuniti dan pembangunan modal insan oleh Usanita.
"Industri kreatif Indonesia merupakan mercu tanda inovasi dan kekayaan budaya. Pihak kami teruja untuk meneroka peluang dan bekerjasama bagi meningkatkan lagi inisiatif Usanita yang mampu menyumbang kepada pembangunan industri kreatif yang dinamik di kedua-dua negara,” kata Adzliana.
Adzliana berkata selain memberikan bantuan kebajikan, Usanita juga aktif dalam mempromosi padanan perniagaan-ke-perniagaan dan industri kreatif merupakan peluang baharu yang boleh meningkatkan semangat keusahawanan dalam kalangan ahli Usanita.
Sementara itu, Erma Fatima berkata sudah tiba masanya untuk Malaysia dan Indonesia menghidupkan semula produksi filem secara usahasama seperti yang dilaksanakan pada tahun 80-an dan 90-an.
"Kerjasama sebegini memberi peluang untuk kita bertukar pengetahuan agar mampu memenuhi kehendak penonton yang semakin mencabar. Teknologi produksi filem juga telah mengalami perubahan pesat dan jika bergabung, kedua-dua negara mempunyai kekuatan untuk menakluk pasaran global dengan sinergi yang betul,” katanya.
Delegasi Usanita turut melawat IDN Media dan berbincang dengan pihak pengurusan tertingginya untuk meneroka potensi kerjasama kreatif.
Perbincangan tersebut tertumpu kepada pembangunan bersama kandungan kreatif dan memanfaatkan kekuatan masing-masing untuk melaksanakan projek yang inovatif dan menarik minat penonton di kedua-dua negara.
Lawatan ke Jakarta ini juga membuktikan komitmen Usanita untuk memperluas jangkauan dan pengaruhnya melalui kerjasama antarabangsa.
Mengulas lanjut, Adzliana berkata perbincangan terperinci dengan pemimpin industri kreatif Indonesia bertujuan untuk membangunkan kandungan dan program inovatif yang mampu memikat penonton di seluruh rantau ini.
“Menerusi gabungan kekuatan kreatif rakan kongsi Indonesia dan pendekatan berasaskan misi Usanita untuk membangunkan usahawan tempatan, kerjasama ini mampu menghasilkan projek-projek menarik dengan impak sosial yang signifikan,” katanya.
Menurut beliau, kerjasama ini juga dirancang secara strategik untuk membantu kedua-dua negara meneroka pasaran antarabangsa yang lebih besar, bermula dengan ASEAN.
"Memandangkan Malaysia bakal menjadi tuan rumah Sidang Kemuncak ASEAN tahun depan, kerjasama ini juga bertujuan untuk memanfaatkan potensi kreatif serantau yang lebih besar," tambahnya.
#keusahawanan #USANITA #Indonesia #filem
;